AM

KKDW BENTUK 375 JAWATANKUASA KOMUNITI DESA MADANI PULAU PINANG - AHMAD ZAHID

15/12/2024 03:31 PM

BUTTERWORTH, 15 Nov (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berjaya membentuk  375 Jawatankuasa Komuniti Desa MADANI (JKDM) Pulau Pinang secara berfasa sejak 1 Mac lepas sebagai pelengkap dan nilai tambah kepada usaha menyantuni rakyat.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata JKDM juga diwujudkan di Selangor dan Sabah sebagai usaha berterusan KKDW membasmi kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat luar bandar.

"Selain itu, JKDM yang diketuai seorang pengerusi dan dibantu seorang setiausaha serta 11 ahli jawatankuasa yang lain diharapkan dapat menjadi wadah penghubung antara KKDW dan masyarakat berkenaan.

"Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) negeri adalah pengelola utama pelaksanaan JKDM dan pada tahun ini, KKDW memperuntukkan RM1.875 juta bagi pemberian insentif tadbir urus JKDM iaitu RM5,000 secara one-off untuk membolehkan jawatankuasa itu melaksanakan aktiviti kemasyarakatan berbentuk pembangunan komuniti di lokaliti masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Setahun Pelaksanaan JKDM Pulau Pinang dan Penubuhan  Pasukan Tindak Balas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) Kampung JKDM di Pusat Konvensyen, Kebudayaan dan Kesenian Antarabangsa (PICCA) di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Datuk Aminurrahim Mohamed dan Ketua Pengarah KEMAS Datuk Mohd Hanafiah Man.

Ahmad Zahid berkata JKDM yang dilantik juga layak memohon bantuan Geran Sejati MADANI di bawah kelolaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dan hingga kini, permohonan daripada 88 JKDM Pulau Pinang berjaya diluluskan dengan peruntukan keseluruhan RM8.45 juta.

Dalam pada itu, beliau berkata pada Jun lepas, KKDW dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah melaksanakan program latihan asas pengurusan bencana kepada 41 anggota JKDM Pulau Pinang. 

"Latihan yang dilaksanakan di Pusat Latihan APM Wilayah Utara (PULAPAU), Baling, Kedah selama tiga hari ini telah mendedahkan anggota JKDM Pulau Pinang kepada ilmu asas menangani bencana seperti CPR (pernafasan resutasi kardiopulmonari), balutan luka dan memadam kebakaran.

"Selain itu, mereka juga diterangkan berkenaan struktur Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah (JPBPD) selaras dengan Arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) No. 1," katanya.

Aham Zahid berkata anggota JKDM yang selesai menjalani latihan itu akan dilantik sebagai anggota CDERT dan turut dipelawa bergiat aktif sebagai anggota sukarela APM di Pejabat Daerah APM masing-masing serta berpeluang menjalani latihan pembangunan profesionalisme anjuran Institut Pembangunan Desa (INFRA) di bawah KKDW.

"JKDM juga antara jentera utama untuk membantu kerajaan Pulau Pinang memperkukuhkan agenda memakmurkan rakyat dan sebagai menteri di KKDW, walaupun ada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini dan negeri lain, kita bukan mahu bersaing atau berlawan.

"Sebaliknya kita mahu menyumbang agar bersama-sama menyelaras dan apabila tiba waktunya kedua-duanya iaitu JKDM dan MPKK bercantum untuk bersama-sama menjalankan tugas dari peringkat akar umbi demi kepentingan semua," katanya.

-- BERNAMA 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan