KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Takaful Ikhlas General Bhd (Takaful Ikhlas) hari ini melancarkan Pasukan Takaful4All (T4A) Disaster Relief sebagai satu daripada inisiatif membantu masyarakat yang terjejas akibat bencana, khususnya banjir.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata penubuhan pasukan itu bertujuan menyediakan bantuan segera dan mendidik komuniti supaya lebih bersedia menghadapi bencana pada masa hadapan.
"Pasukan ini merupakan inisiatif strategik dalam menangani cabaran musim tengkujuh dan bencana lain. Ia melibatkan sukarelawan daripada syarikat takaful, yang akan menerima latihan intensif daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) untuk meningkatkan kecekapan operasi bantuan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan PasukanTakaful4All (T4A) Disaster Relief pada program T4A Sustainability Day 2024 anjuran Persatuan Takaful Malaysia (MTA), yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif MTA Mohd Radzuan Mohamed dan Timbalan Pengarah JBPM Yusri Basri.
Rudy Rodzila berkata pasukan itu akan memulakan operasi di ibu negara dengan sasaran 50 hingga 100 ahli yang dilatih dalam kemahiran asas oleh pihak profesional.
"Latihan yang diberikan merangkumi kemahiran seperti bantuan pernafasan (CPR), teknik penyelamatan dan pengurusan logistik kecemasan. Mereka juga akan membantu usaha pembersihan pascabencana termasuk di masjid, sekolah dan tempat awam yang rosak akibat banjir.
"Selain membersihkan kawasan, pasukan ini juga akan membantu membaiki infrastruktur yang rosak mengikut keperluan dan kemampuan yang ada," katanya.
Mengenai T4A Sustainability Day 2024, Mohd Radzuan berkata sebanyak 15 syarikat takaful terkemuka seperti Takaful Ikhlas, Sun Life Malaysia dan Zurich Takaful mengambil bahagian dalam mempamerkan usaha kelestarian mereka.
"Lebih 500 peserta yang hadir terdiri daripada wakil-wakil industri takaful dan orang awam yang berminat untuk menyertai usaha kelestarian ini.
"Pelbagai aktiviti telah dilakukan termasuk Larian Hero Hijau sejauh lima kilometer, bengkel gaya hidup sifar sisa dan pengetahuan asas mengenai teknik penyelamatan dan tindakan kecemasan dalam menghadapi bencana seperti banjir yang mendapat sambutan meriah," katanya.
Beliau berharap acara itu dapat dijadikan acara tahunan memandangkan ia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang pentingnya menjaga alam sekitar dan memelihara sumber semula jadi dalam kalangan pemain industri takaful.
-- BERNAMA