KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Kerajaan MADANI komited memanfaatkan gagasan pemikiran dan karya Profesor Diraja Syed Muhammad Naquib Al-Attas untuk pembangunan ilmiah rakyat dan negara melalui kegiatan ilmiah yang bakal dirancang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata peranan instrumental Syed Muhammad Naquib sebagai pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) telah menarik minat generasi ilmuwan tersohor dari seluruh dunia untuk melanjutkan pengajian, mengajar dan melaksanakan penyelidikan ilmiah di Malaysia.
Beliau berkata kutubkhanah ISTAC sememangnya tersohor sebagai antara perpustakaan terbaik yang menghimpunkan koleksi khas bahan ilmiah dan kebudayaan Islam untuk pengajian peringkat tinggi.
"Seusai Kongres Nasional Khas KEADILAN, saya meluangkan kesempatan hujung minggu menziarahi filasuf bangsa yang juga ilmuwan ulung tanah air, Profesor Diraja Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas.
"Pertemuan dengan guru kami dalam suasana kekeluargaan ini tentu saja menghimbau kenangan lampau sewaktu mahasiswa, tatkala mendampingi beliau menelaah teks karya-karya besar khususnya 'Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu’ serta ‘Islam and Secularism’," kata beliau menerusi hantaran Facebook hari ini.
Dalam hantaran sama, Anwar berkongsi gambar beliau bersama anaknya Nurul Izzah dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang turut menziarahi tokoh itu.
Mengimbau usia mudanya, Anwar berkata beliau bertuah kerana sering terlibat menyaksikan wacana dan perdebatan ilmiah yang begitu mengasyikkan antara Syed Muhammad Naquib dengan seorang lagi gergasi ilmuwan negara yang juga kekandanya iaitu Prof Dr Syed Hussein Al-Attas.
Perdana Menteri berkata beliau turut berkesempatan mendengar syarahan daripada tokoh itu mengenai Aqā´id al-Nasafī, Historical Fact and Fiction, Risalah untuk Kaum Muslimin dan merentas tokoh pemikir Barat seperti Voltaire, Henry Pirenne, Rene Guenon, Oleg Grabar.
"Beliau (Syed Muhammad Naquib) turut menitipkan nasihat betapa pentingnya keyakinan dan kefahaman Islam yang benar berasaskan suluhan dan petunjuk Al-Quranul Karim," katanya.
-- BERNAMA