SUKAN

SABAH BAWA BEKALAN TIPIS KE KOTA KINABALU

16/12/2024 12:29 AM


From Zaphne Philip

KUCHING, 15 Dis (Bernama) -- Kuching City FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila tewas 0-1 kepada Sabah FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Negeri Sarawak, malam ini.

Jaringan tunggal Muhammad Farhan Roslan pada minit ke-32 memberikan kelegaan buat skuad Sang Badak yang dikendalikan oleh Martin Stano.

Keputusan ini memberi kelebihan tipis kepada Sabah FC menjelang aksi suku akhir kedua di Stadium Likas, Kota Kinabalu, pada 23 Dis ini.

Aksi babak pertama dikuasai oleh Sabah FC apabila Farhan menjaringkan gol menerusi tandukan dalam kawasan kotak penalti dan walaupun Kuching City cuba bangkit, benteng pertahanan kental Sabah FC berjaya menangkis segala gerakan dan percubaan pihak lawan.

Babak kedua menyaksikan tuan rumah gigih mencari peluang untuk menyamakan kedudukan namun semua percubaan mereka gagal menembusi gawang Sabah FC.

Walaupun pengadil memberikan tambahan masa kecederaan selama lima minit, keputusan 1-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan.

-- BERNAMA


© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan