AM

EWON MAHU LEBIH RAMAI PETANI KOTA BELUD CEBURI TANAMAN LADA HITAM

16/12/2024 06:29 PM


From Rohana Nasrah

KOTA BELUD, 16 Dis (Bernama) -- Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick mahu lebih ramai petani di daerah ini khususnya di kawasan Kadamaian menceburi dan mengembangkan lagi pertanian lada hitam sebagai satu perniagaan berikutan pasarannya yang meluas.

Sehubungan itu, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian menyumbang 600 anak pokok lada hitam kepada 30 peserta yang menyertai Kursus Lada Hitam sebagai sokongan kepada petani di kawasan itu selain komitmen berterusan untuk membangunkan tanaman tersebut. 

“Saya berharap ini akan menjadi permulaan kepada petani untuk mengusahakan tanaman lada hitam yang lebih luas pada masa akan datang,” katanya dalam kenyataan selepas menyampaikan anak pokok lada hitam kepada peserta terlibat di sini hari ini. 

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penanam dan Pengusah Lada Hitam Kota Belud Janus Tioon dalam kenyataan sama berkata sumbangan anak pokok lada hitam tersebut memberi peluang serta galakan kepada petani di Kadamaian untuk memulakan seterusnya mengembangkan tanaman tersebut.

Janus menyifatkan sumbangan itu membuktikan kesungguhan dan komitmen Ewon untuk membantu mengembangkan lagi penanaman lada hitam di Kadamaian, seterusnya memberi semangat kepada petani yang baharu menceburi bidang itu.

Peserta kursus yang juga penerima sumbangan anak pokok lada hitam, Nani Sikin dari Kampung Piasau berkata ini kali pertama dia mengusahakan tanaman itu dan berharap sumbangan tersebut akan menjadi permulaan kepada perusahaan lada hitam yang lebih luas pada masa akan datang.

"Saya berminat menanam lada hitam selepas mengikuti ceramah mengenai tanaman itu pada bulan lepas. Saya lihat tanaman ini mempunyai potensi untuk dikembangkan dan dijadikan sebagai satu perniagaan," katanya.

Arnie Soluin dari Kampung Tambulion pula berhasrat untuk menanam lada hitam di kampungnya dan akan mengajak rakan petani lain untuk bersama-sama mengusahakan tanaman tersebut.

"Ini adalah permulaan saya untuk menanam lada hitam," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada Ewon atas sumbangan berkenaan.

Sait Salimun dari Kampung Piasau pula mahu menggunakan 20 anak pokok lada hitam yang diterimanya sebagai induk untuk menghasilkan lebih banyak benih tanaman itu dan berharap fasa pertamanya mengusahakan lada hitam akan berjaya seterusnya berkembang pada masa depan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan