EKONOMI

EKSPORT MINYAK SAWIT, PRODUK BERASAS MINYAK SAWIT CATAT RM99.3 BILION BAGI TEMPOH JAN-NOV 2024 - JOHARI

16/12/2024 06:42 PM

BANGI, 16 Dis (Bernama) -- Eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit mencatat RM99.3 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2024, peningkatan RM12.5 bilion berbanding tempoh sama 2023, menurut Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Dalam ucapan perasmian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2024 di sini hari ini, beliau berkata tujuh pasaran telah secara kolektif menyumbang 54.4 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia untuk tempoh 11 bulan pertama 2024.

"Bagi tempoh Januari hingga November 2024, India kekal sebagai pasaran terbesar bagi minyak sawit Malaysia dengan 2.9 juta tan (18.5 peratus), diikuti China (1.3 juta tan), Kesatuan Eropah (1.2 juta tan), Kenya (1.1 juta tan), Turkiye (832,000 tan), Filipina (611,000 tan), dan Jepun (553,000 tan)," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Johari berkata Malaysia berhasrat untuk mencapai peningkatan eksport daripada minyak sawit dan produk berasaskan sawit tahun ini.

Beliau berkata sawit negara merupakan penyumbang ketiga terbesar dari segi nilai eksport dalam negara setakat ini selepas sektor elektrik dan elektronik serta minyak dan gas. 

"Oleh itu, pada tahun ini saya menjangka sektor ini akan terus mencatat angka lebih tinggi berbanding 2023," katanya.

Menurut Johari, permintaan minyak sawit global akan meningkat seiring dengan peningkatan populasi dunia.

“Mengambil kira sumber yang terhad, Malaysia sebagai negara pengeluar sawit kedua terbesar mesti mengambil peluang ini untuk meningkatkan produktiviti dan pengeluaran. 

“Isu keterjaminan makanan yang dihadapi dunia pula mendesak negara-negara seperti Malaysia untuk meningkatkan produktiviti bagi penghasilan produk agrikomoditi bagi memenuhi permintaan yang semakin tinggi,” katanya. 

Sementara itu, Johari berkata, pada tahun depan, Malaysia akan mengambil alih kepengerusian Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dan menjawat jawatan Ketua Setiausaha bermula 1 Jun 2025 bagi tempoh tiga tahun.

Menurutnya pada Mesyuarat Menteri CPOPC bulan lepas, beliau mengutarakan beberapa cadangan termasuk saranan untuk CPOPC memainkan peranan menangkis persepsi negatif terhadap minyak sawit dengan berkongsi kebaikan produk sawit dari segi keterjaminan makanan serta kesihatan.

"Sebuah lagi pencapaian yang saya ingin kongsikan adalah penerbitan Minyak Sawit Mampan
Malaysia (MSPO) dalam Peta Piawaian Pusat Perdagangan Antarabangsa (ITC), menandakan pengiktirafan terhadap komitmen Malaysia dalam agenda kemampanan, khususnya pengeluaran minyak sawit yang bertanggungjawab," katanya.

Peta Piawaian ITC adalah pangkalan data kemampanan terbesar di dunia yang dibangunkan secara bersama oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan