KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang pempengaruh media sosial yang dipercayai mengeluarkan kenyataan bersifat jelik, memperlekehkan dan menghina institusi diraja dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki berusia 22 tahun itu yang didakwa mengeluarkan kandungan berkenaan melalui akaun TikTok ditahan di rumahnya di Johor, Selasa lepas, susulan laporan daripada seorang pengadu.
“Siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata lelaki terbabit didakwa mengeluarkan kenyataan bersifat jelik yang dipercayai dengan niat untuk menyakitkan hati, memperlekehkan dan menghina institusi diraja bagi membangkitkan kebencian serta provokasi selain berpotensi mengganggu-gugat keselamatan awam dan keharmonian negara.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata permohonan reman terhadap lelaki itu ditolak mahkamah susulan pempengaruh itu telah membuat permohonan maaf menerusi akaun TikTok miliknya.
“Siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Baru-baru ini, pempengaruh media sosial itu memuat naik kenyataan mempersoalkan tindakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim makan di sebuah restoran di Johor Bahru yang didakwa tidak mempunyai sijil halal.
Selepas mendapat kecaman di media sosial, pempengaruh tersebut membuat permohonan maaf dan video berkaitan kenyataannya memfitnah institusi diraja serta pemimpin negara itu sudah dipadam.
-- BERNAMA