BERITA TERGEMPAR | PM Anwar expresses condolences to the family of Egyptian Islamic movement activist Youssef Nada who passed away today | |
Oleh Vikneswaran Raman dan Amiril Muttaqien Meketar
KUALA LUMPUR, 22 Dis (Bernama) -- Penantian hampir tujuh dekad pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik terus dipanjangkan pada edisi berikutnya di Los Angeles apabila bumi Paris menjadi saksi misi tidak kesampaian kontinjen negara yang hanya pulang dengan dua gangsa.
Biarpun pelbagai sokongan dan bantuan diberikan termasuk peruntukan RM13.283 juta menerusi program Road to Gold (RTG) sejak 2023, Malaysia perlu menunggu empat tahun lagi untuk cuba menamatkan kemarau emas itu pada Los Angeles 28 (LA28).
Jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang yang diletakkan harapan tinggi untuk meraih emas di Paris tidak berjaya melunaskan harapan jutaan rakyat Malaysia apabila tersingkir awal dalam acara keirin susulan tindakan juara dunia 2017 itu memintas ‘derny’ (motosikal elektrik yang bertindak sebagai pacer) sebelum motosikal itu meninggalkan trek.
Selepas cabaran 'The Pocket Rocketman' terhenti, sandaran beralih kepada Muhammad Shah Firdaus Sahrom apabila mara ke pusingan akhir namun insiden pelanggaran dengan pelumba Jepun Shinji Nakano beberapa meter sebelum penamat, memusnahkan harapan untuk sekurang-kurangnya meraih pingat dalam acara itu.
Bagaimanapun, badminton sekali lagi menjadi penyelamat menerusi gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan perseorangan lelaki profesional Lee Zii Jia yang meraih gangsa untuk membantu Malaysia menamatkan cabaran Paris 2024 di kedudukan ke-80 bersama Albania, Grenada dan Puerto Rico.
Badang negara yang kali pertama ke pentas Olimpik Mohamad Aniq Kasdan hampir mencipta sejarah sebagai atlet angkat berat pertama Malaysia menaiki podium Olimpik, namun terpaksa berputih mata dengan perbezaan sekilogram memisahkan beliau daripada podium dalam acara 61kg lelaki selepas melakukan angkatan 297kg (130kg dalam acara snatch dan 167kg dalam clean & jerk), yang menjadi rekod kebangsaan baharu.
Tahun ini juga menyaksikan kemerosotan beberapa sukan, termasuk terjun yang buat kali pertama sejak 24 tahun gagal mempunyai penerjun wanita layak ke Olimpik secara merit, termasuk ratu terjun Datuk Pandelela Rinong, dengan hanya Bertrand Rhodit Lises melayakkan diri beraksi dalam acara 10m platform lelaki.
Namun, debut Bertrand sekadar menamatkan saingan di kedudukan ke-25 daripada 26 peserta di pusingan awal, manakala Nur Dhabitah Sabri yang diberikan kuota tidak digunakan, menduduki tempat ke-12 dalam final 3m papan anjal wanita, sekali gus kem terjun pulang dengan tangan kosong buat edisi kedua berturut-turut.
Kejayaan Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim menamatkan kemarau pingat 18 tahun pada Kejohanan Terjun Remaja Dunia menerusi kemenangan gangsa pada November, bagaimanapun sedikit menghadirkan harapan masa depan, selain diserikan dengan persembahan baik penerjun cilik, terutamanya Sarawak, ketika temasya Sukan Malaysia (SUKMA) pada Ogos.
Sebelum kempen Olimpik bermula, hasrat kem badminton untuk memberi warna pada musim 2024 dengan menamatkan kemarau 32 tahun menjulang Piala Thomas tidak kesampaian apabila tewas kepada tuan rumah China, 1-3 dalam aksi suku akhir manakala cabaran skuad wanita berakhir seawal peringkat kumpulan Piala Uber.
Skuad hoki lima-sebelah (5s) lelaki memulakan tahun ini dengan cemerlang apabila muncul naib juara Piala Dunia 5s di Muscat, Oman, namun kejayaan itu gagal diteladani pasukan hoki padang lelaki Speedy Tigers yang menunjukkan prestasi membimbangkan.
Sarjit Singh yang dilantik sebagai pengendali pada Mac dengan misi memantapkan pasukan, belum menunjukkan keputusan positif apabila Malaysia selaku juara bertahan Piala Sultan Azlan Shah menduduki tempat keempat, diikuti kedudukan ketujuh daripada sembilan pasukan di Piala Negara-negara dan tempat tercorot daripada enam negara di Trofi Juara-Juara Asia (ACT).
Di sebalik ‘mendung’ yang melanda sukan negara pada 2024, beberapa sukan tetap memberikan memori indah untuk dipahatkan dalam lipatan tahun ini seperti pasukan sepak takraw yang menamatkan penguasaan Thailand untuk muncul juara acara regu dan double Piala Dunia meskipun badi 33 tahun muncul juara acara regu berpasukan masih kekal selepas tewas kepada Thailand pada final di Stadium Titiwangsa.
Tenpin boling juga terus cemerlang, terutamanya Sin Li Jane dan Esther Cheah yang menyinar dalam siri Jelajah Persatuan Boling Wanita Profesional (PWBA) di Amerika Syarikat, masing-masing merangkul empat dan satu gelaran musim ini. Li Jane turut melakar sejarah menjadi atlet Asia pertama memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan PWBA.
Tidak lupa juga Nor Farah Ain Abdullah yang bergelar juara dunia pada penampilan sulungnya di Kejohanan Boling Padang Dalam Dewan Dunia 2024 di Guernsey, Channel Islands pada April, membantu Malaysia muncul juara keseluruhan dengan masing-masing sebutir emas, perak dan gangsa.
Arena skuasy menyaksikan atlet wanita negara S. Sivasangari menembusi kelompok 10 terbaik dunia pada Mei menerusi kejayaan merangkul gelaran Kejohanan Klasik London mengatasi dua pemain utama Mesir - pemain nombor satu dunia Nour El Sherbini dan kedua dunia Hania El Hammamy - manakala pemain lelaki Ng Eain Yow juga tidak kurang hebatkan sepanjang baik tahun ini.
Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan Para SUKMA yang berlangsung masing-masing pada Ogos dan September, menyaksikan Sarawak meletakkan penanda aras baharu dengan penganjuran meriah, selain kemunculan beberapa bakat baharu termasuk perenang Selangor Andrew Goh dan penembak Negeri Sembilan Gan Chen Jie.
Dalam pada itu, prestasi kontinjen negara yang tidak berjaya menepati sasaran membawa pulang empat emas pada Paralimpik Paris menjadi tumpuan utama untuk sukan para tahun ini, selepas kontinjen negara membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa dari bumi Paris.
Jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin berada dalam kelas tersendiri apabila bukan sahaja mempertahankan emas kategori lelaki 72kg, malah memecahkan rekod dunia dengan angkatan 232kg.
Pemain badminton Cheah Liek Hou membuktikan statusnya sebagai jaguh perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) nombor satu dunia menerusi kejayaan meraih emas kedua berturut-turut di Sukan Paralimpik selepas meraih gelaran dunia kelapan bagi acara perseorangan lelaki pada awal tahun.
Episod duka menimpa jaguh olahraga para Datuk Abdul Latif Romly apabila impiannya untuk melakar emas hatrik lompat jauh T20 (kecacatan intelektual) tidak kesampaian, akur dengan pingat perak manakala Muhammad Ziyad Zolkefli juga terpaksa berpuas hati dengan warna pingat sama menerusi acara lontar peluru F20 (kecacatan intelektual) kali ini.
Biarpun membawa pulang gangsa 100m lelaki T44 (kecacatan fizikal), namun pencapaian Eddy Bernard tetap membanggakan apabila muncul atlet baharu memenangi pingat Sukan Paralimpik buat Malaysia.
Di sebalik prestasi kurang gah itu, persaingan lebih getir dijangka menanti kontinjen negara untuk sekurang-kurangnya menyamai pencapaian berkenaan di LA28, mengambil kira faktor umur pemenang pingat.
Hanya Bonnie, 25, dijangka menjadi sandaran utama untuk kekalkan emas manakala wujud persoalan sejauh mana kemampuan barisan atlet veteran Liek Hou, Abdul Latif dan Muhammad Ziyad untuk menyinar.
Dengan musim 2025 bakal bermula dalam beberapa minggu sahaja lagi, semua pemegang taruh harus bertindak pantas bagi meningkatkan prestasi, mencari idea baharu dan memperbaiki kelemahan agar arena sukan negara cemerlang, dengan harapan emas sulung Olimpik dapat dicapai pada sekurang-kurangnya LA28.
Sepanjang kitaran Olimpik seterusnya, atlet negara akan diuji dengan Sukan SEA 2025 di Thailand dalam tempoh setahun lagi, sebelum Sukan Asia 2026 Aichi-Nagoya dan Sukan Komanwel 2026 Glasglow serta penganjuran Sukan SEA 2027 di Malaysia sebelum mengharungi satu lagi cabaran Olimpik.
-- BERNAMA