AM

INISIATIF NDP BERPOTENSI TARIK SYARIKAT PENERBANGAN BEROPERASI DI LTAM

30/12/2024 03:25 PM

MELAKA, 30 Dis (Bernama) -- Inisiatif Network Development Programme (NDP) oleh Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) berpotensi menarik minat syarikat-syarikat penerbangan untuk beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata inisiatif NDP itu akan diberikan kepada syarikat penerbangan yang ingin memulakan operasi ke destinasi antarabangsa baharu di mana-mana lapangan terbang di bawah kendalian syarikat itu.

“NDP ialah program yang menawarkan rebat seperti pengecualian caj pendaratan, rebat kenaikan bilangan penumpang dan sokongan pemasaran yang akan bermula pada 1 Jan 2025 hingga Disember 2027.

“Ini sekali gus berpotensi menarik minat syarikat-syarikat penerbangan untuk beroperasi di LTAM serta merancakkan lagi ekonomi negara,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Kerk Chee Yee (PH-Ayer Keroh) yang bertanyakan mengenai penerbangan domestik dan antarabangsa melalui LTAM.

Hameed (BN-Ayer Limau) berkata kerajaan negeri juga sentiasa memberikan keutamaan dalam mempromosikan LTAM menerusi penganjuran Karnival Udara Antarabangsa Melaka (KUAM) secara tahunan dengan kerjasama pelbagai agensi.

Beliau berkata KUAM 2024 mencatatkan 83,877 pengunjung berbanding 60,000 pengunjung pada tahun lepas selain turut merekodkan kutipan sebanyak RM171,420.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan