KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Sekumpulan 21 remaja menunggang basikal secara berbahaya dan tidak mengikut peraturan, yang ditahan dalam sekatan jalan raya di Jalan Sultan Azlan Shah di sini semalam sempena operasi Ambang Tahun Baharu 2025, telah didenda ketuk ketampi di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata remaja dalam lingkungan umur 14 hingga 17 tahun itu dikesan melakukan kesalahan menunggang basikal yang tidak mempunyai brek, loceng, lampu dan menunggang secara bersaing serta membahayakan.
Menurut beliau, tindakan boleh diambil ke atas mereka di bawah peruntukan dalam Kaedah-Kaedah Lalulintas (Kaedah 42) LN 165/59 – sekatan ke atas penunggang basikal selain tindakan sita juga boleh diambil di bawah Seksyen 112 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagaimanapun, seorang pegawai kanan JSPT bersama seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengambil tindakan dengan memberi amaran dan advokasi kepada kumpulan remaja terbabit dengan memberi denda ketuk ketampi secara sukarela.
“Mereka seterusnya bersalaman dan meminta maaf kepada petugas-petugas di sekatan jalan raya itu. Kumpulan remaja itu kemudiannya disuraikan dengan peringatan agar tidak menunggang basikal tersebut dan terus pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zamzuri berkata video tindakan advokasi itu tular di media sosial dan rata-rata netizen memuji pendekatan budi bicara yang digunakan oleh Polis Diraja Malaysia dan JPJ dengan memberikan hukuman ketuk ketampi berbanding mengambil tindakan undang-undang terhadap remaja terbabit.
“Tindakan ini secara tidak langsung memberi peringatan kepada kumpulan remaja terbabit supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut. Advokasi seperti ini juga dapat memberi kesedaran dan membantu pesalah muda memahami undang-undang jalan raya dengan lebih baik.
“Sekali gus memberi peluang kepada pesalah muda untuk memperbaiki diri dan mengelakkan daripada melakukan kesalahan yang sama di kemudian hari,” katanya.
Beliau menasihati golongan muda supaya tidak melakukan kesalahan lalu lintas dengan menunggang dengan cara berbahaya supaya kecederaan atau kemalangan jiwa dapat dielakkan.
“Para ibu bapa dan penjaga juga dinasihatkan untuk lebih prihatin dan memantau anak-anak di bawah jagaan supaya tidak melakukan apa-apa kesalahan yang boleh menyalahi undang-undang,” katanya.
-- BERNAMA