Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 4 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka menyaksikan dagangan yang cenderung meningkat sedikit minggu depan, susulan asas bermusim yang lebih kukuh.
Peniaga minyak sawit David Ng berkata ini disebabkan terutamanya oleh corak pengeluaran bermusim yang lebih rendah dan lazim dilihat pada suku pertama tahun ini.
“Jangkaan pengeluaran MSM yang lebih rendah juga akan menjejaskan sentimen pasaran. "Kami menjangkakan harga akan didagangkan antara RM4,200 satu tan dan RM4,450 satu tan pada minggu depan," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, peniaga kanan minyak sawit Interband Group of Companies, Jim Teh pula menjangkakan kontrak niaga hadapan MSM menyaksikan dagangan lebih rendah berikutan aktiviti pengambilan untung pada minggu depan.
Beliau berkata pasaran juga dijangka dalam sentimen lebih berhati-hati ketika peniaga menunggu pengumuman Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengenai data eksport simpanan MSM bagi Disember 2024 pada 10 Januari ini.
“Julat harga bagi kontrak niaga hadapan MSM berkemungkinan besar diniagakan pada RM4,300 hingga RM4,400 satu tan pada minggu depan.
“Bagi permintaan fizikal pula, dijangka dari China susulan sambutan Tahun Baharu Cina dan seterusnya dari India, Pakistan, Eropah serta negara-negara Timur Tengah,” katanya.
Sebagai asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, kontrak bulan semerta Januari 2025 turun RM252 kepada RM4,723 satu tan; Februari 2025 susut RM270 kepada RM4,511 dan Mac 2025 berkurangan RM256 kepada RM4,368.
Kontrak April 2025 pula merosot RM212 kepada RM4,247 satu tan; Mei 2025 berkurangan RM170 kepada RM4,161 manakala Jun 2025 turun RM141 kepada RM4,112.
Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 280,197 lot daripada 194,976 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka turun kepada 233,618 kontrak pada Jumaat daripada sejumlah 242,999 kontrak seminggu sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan berkurangan sebanyak RM250 kepada RM4,800 satu tan.
-- BERNAMA