AM

ELAK SURAT TIDAK SAMPAI, PENDUDUK TERUJA PELAKSANAAN KAMPUNG DIGITAL

10/01/2025 08:24 PM

MELAKA, 10 Jan (Bernama) -- Transformasi kampung tradisional kepada Kampung Digital Melaka (KDM) yang bakal dilaksanakan di 623 kampung di seluruh Melaka dalam tempoh terdekat ini, nyata memberi impak positif kepada penduduk terutama dalam urusan penerimaan surat atau bil utiliti bagi penduduk kampung. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tanjung Minyak Kamal Bawker berkata rata-rata penduduk di Kampung Tanjung Minyak menerima dengan baik inisiatif itu walaupun pada awalnya bimbang akan berdepan dengan kesukaran selepas alamat kediaman mereka ditukar kepada sistem digital.  

“Ketika mula-mula kampung ini dipilih dalam projek ini, memang risau sebab takut sistem itu akan menyusahkan, tetapi alhamdulilah ia sangat senang, malah pelbagai agensi termasuk pejabat daerah banyak membantu memberi penerangan. 

“Rata-rata berpuas hati terutama berkaitan maklumat yang ada dalam sistem itu yang sangat tepat, namun dalam masa yang sama kami terpaksa menerima ada nama-nama lorong yang diubah bagi memastikannya lebih sistematik,” katanya kepada Bernama. 

Mengulas lanjut, Kamal berkata sebanyak 372 penduduk Kampung Tanjung Minyak telah menerima dan melekatkan pelekat kod respons pantas (QR) di kediaman masing-masing sejak Oktober lepas dan rata-ratanya sudah cuba menggunakannya. 

“Cuma kita harap pada masa akan datang pelekat QR itu ditambah baik agar lebih tahan cuaca memandangkan pelekat sekarang agak nipis, mudah koyak dan rosak kerana hujan,” katanya yang telah menetap selama 50 tahun di Kampung Tanjung Minyak.

Menerusi kod QR itu, alamat rumah penduduk hanya perlu diimbas menggunakan telefon pintar untuk ke maklumat rumah di laman Portal Kampung Digital, selain itu, terdapat juga maklumat seperti kod unik premis, alamat penuh, nama mukim, nombor lot rumah, pautan lokasi rumah dan alamat lama yang digunakan.

Seorang penduduk Ramli Dollah, 65, berkata perubahan ke arah Kampung Digital sangat membantu penduduk kampung dalam memastikan urusan surat-menyurat, bil utiliti dan penghantaran barang tiba di kediaman yang sepatutnya memandangkan sebelum ini sistem alamat agak tidak sistematik.

Katanya, sebelum ini penghantar surat atau barangan sering berdepan beberapa kesukaran, misalnya nama penghuni tidak sama seperti dalam kad pengenalan, alamat tidak lengkap atau lorong tidak dijumpai. 

“Jadi, hal ini sangat membantu banyak pihak dan perubahan pada nama lorong itu tidak memberi kesan kerana ia sudah diseragamkan dengan pelbagai agensi,” kata pesara tentera itu. 

Inisiatif Kampung Digital Melaka merupakan projek mendigitalkan kampung yang pertama di Malaysia dengan penggunaan kod QR, bertujuan memodenkan sistem alamat rumah di 623 kampung tradisional di Melaka serta meningkatkan kualiti akses data perkhidmatan rakyat.

Selain Kampung Tanjung Minyak, projek rintis bagi Sistem Alamat Nasional (NAS) itu turut melibatkan Kampung Paya Rumput, Kampung Bukit Kecil Pernu dan Kampung Tun Razak bagi daerah Melaka Tengah. 

Sementara daerah Alor Gajah, ia membabitkan Kampung Pulau, Kampung Seri Jeram, Kampung Felda Hutan Percha, Kampung Baru Cina Machap Baru, Kampung Sungai Jernih dan Kampung Lekok manakala Kampung Lipat Kajang, Kampung Tersusun Datuk Mohd Hidhir, Kampung Seri Kesang serta Kampung Kesang Jaya bagi daerah Jasin. 

 Objektif utama Kampung Digital ialah menambah baik sistem penyampaian dan penghantaran sedia ada terutama jika dahulu, urusan penghantaran surat berdepan masalah untuk mencari lokasi sebenar kediaman penerima. 

Justeru, menerusi inisiatif yang menerima pembiayaan dana sebanyak RM3.37 juta yang dilaksanakan dengan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), setiap rumah penduduk akan mempunyai nombor sendiri yang dilihat lebih sistematik.

Lebih menarik, projek berkenaan telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan cap dagangan logo, menjadikannya model kampung digital di seluruh negara.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pembiayaan dana sebanyak RM3.37 juta bagi pembangunan Kampung Digital Melaka itu membuktikan komitmen kerajaan menyokong penuh usaha transformasi 623 kampung tradisional di negeri berkenaan.

Fahmi berkata kementerian menerusi MCMC terbuka membantu kerajaan negeri sekali gus merealisasikan visi negara memastikan setiap kediaman mempunyai alamat lengkap dan seragam.

-- BERNAMA


 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan