EKONOMI

MALAYSIA AKAN MANFAATKAN FINTECH DALAM PERJANJIAN PERDAGANGAN ASEAN - TENGKU ZAFRUL

11/01/2025 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Malaysia sedang meneroka bagaimana teknologi kewangan (FinTech) boleh berperanan sebagai instrumen utama dalam semua perjanjian yang ditandatangani antara Malaysia dan ASEAN, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ketika ini terdapat 16 perjanjian pelbagai hala dan dua hala antara Malaysia dan ASEAN, ia akan menambah kepada 17 minggu depan.

Walaupun Tengku Zafrul tidak menghuraikan lebih lanjut mengenai perjanjian ini, beliau menekankan bahawa FinTech adalah alat asas untuk mengoperasikannya.

“Kami sedang melihat bagaimana FinTech boleh menjadi instrumen, pemboleh atau asas utama dalam semua perjanjian perdagangan yang telah kami tandatangani, seperti perjanjian Tingkap Tunggal ASEAN (ASW) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP),” katanya.

Tengku Zafrul berkata demikian dalam ucapannya pada 'Forum Ilmuwan Malaysia MADANI KPT Siri Empat: Menggunakan Teknologi dalam Perkhidmatan Kewangan untuk Memacu Kemakmuran dan Keterangkuman' pada petang Jumaat.

Moderator pada acara itu adalah Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, disiarkan secara langsung di akaun Facebook Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Turut serta dalam forum tersebut adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malayan Banking Bhd Datuk Khairussaleh Ramli dan Pengasas Bersama Ketua Pegawai Eksekutifdan Ketua Pegawai Operasi Funding Societies Malaysia Wong Kah Meng.

Sementara itu, Tengku Zafrul menekankan peranan penting FinTech dalam menyepadukan perdagangan ASEAN dan melahirkan harapan bahawa ia akan membawa keterangkuman yang lebih besar.

“Buat masa ini, perdagangan intra-ASEAN hanya menyumbang 22 hingga 23 peratus daripada jumlah perdagangan ASEAN, sebahagian besarnya didominasi oleh syarikat besar.

"Tetapi seperti yang anda tahu, ASEAN didorong oleh perusahaan kecil dan sederhana. Diharapkan FinTech akan membawa lebih keterangkuman kepada urus niaga perdagangan ini," katanya.

Walaupun FinTech mempunyai potensi yang besar, Tengku Zafrul mengakui cabaran termasuk jurang kebolehcapaian teknologi.

“Apabila kita bercakap mengenai FinTech di ASEA malah di Malaysia, tidak semua orang mempunyai akses kepada teknologi itu yang merupakan satu lagi isu yang perlu kita tangani,” katanya.

Beliau juga menyatakan harapan bahawa teknologi dan keterangkumannya dapat memberi manfaat kepada seramai mungkin rakyat Malaysia terutamanya kerana ramai yang mempersoalkan sama ada mereka telah merasakan kesan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Tengku Zafrul menggesa pendekatan keseluruhan kerajaan dan seluruh negara, menyeru kerjasama dalam kalangan pihak berkepentingan termasuk pelabur, ahli akademik dan penggubal dasar untuk membina masa depan yang inklusif dan mampan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan