AM

MAJLIS AGAMA PERLU MANFAAT KEPAKARAN PEMAIN INDUSTRI, RANCANG KEWANGAN AGENSI - PM ANWAR

11/01/2025 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan Majlis Agama Islam di negara ini memanfaatkan kepakaran pemain industri kewangan untuk membantu agensi berkenaan menguruskan aliran perbelanjaan yang lebih cekap.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata langkah itu wajar dilakukan bagi mengelakkan berlakunya pelaburan terhadap perkara-perkara yang tidak menguntungkan.

“Apa salahnya untuk pengurusan di Majlis Agama Islam cari kepakaran di Maybank, SC (Suruhanjaya Sekuriti Malaysia), Bursa Malaysia, syarikat-syarikat besar dan minta pandangan, mereka akan beri dan akan lihat (juga) dari sudut syariah.

“Tetapi, hal ini tidak berlaku kerana semua bekerja dalam silo, dia fikir hal yang kemudian melabur dalam hal-hal yang tidak menguntungkan kerana tiada kepakaran dalam bidang itu,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menjadi moderator dalam Forum Ilmuwan Malaysia MADANI KPT Siri 4: Menggunakan Teknologi dalam Perkhidmatan Kewangan bagi Memacu Kemakmuran dan Keterangkuman di sini malam ini.

Mengulas lanjut, Anwar berkata langkah itu juga merupakan amalan yang dilaksanakan oleh kerajaan pimpinannya ketika ini.

“Dalam Jemaah Menteri, dalam mesyuarat Kabinet terakhir, saya ingatkan menteri beri ruang kepada KSU (Ketua Setiausaha) atau KP (Ketua Pengarah), (bantu beri pendapat), mereka bukan ketua kerani, KSU itu ketua satu kementerian yang peruntukan kadang-kadang hingga RM26 bilion.

“Kalau berfikir sebagai ketua kerani, maka tidak akan ada perubahan, jadi dia harus fikirkan cadangan usaha yang baharu kemudian merencanakannya dan beri nasihat kepada menteri, saya dah pesan kepada menteri untuk ambil masa dengar dan nilai (cadangan atau idea), baru kita boleh lakukan perubahan,” kata Anwar.

Perdana Menteri pada sesi sama turut mengingatkan kepada Majlis Agama Islam berkaitan untuk menguruskan dana zakat yang diterima secara cekap terutamanya untuk mengelakkan pertindihan antara agensi lain.

“Macam soal zakat, Wilayah Persekutuan sahaja mempunyai (kutipan) RM1 bilion, ya tentunya (untuk) memenuhi (keperluan) asnaf, tetapi (juga) harus bangkit sebagai satu contoh pengurusan yang cukup cekap kerana jumlah RM1 bilion untuk Wilayah Persekutuan itu tidaklah kecil, jadi perlu selaras dengan baik.

“Kalau diselaras serta ditumpukan, saya fikir banyak yang harus dikerjakan dan hal ini memerlukan pengurusan di majlis agama itu untuk ambil manfaat daripada kemahiran dan kepakaran pihak lain,” katanya.

Menyentuh mengenai Forum Ilmuwan Malaysia MADANI, Anwar berkata ia menjadi platform terbaik dalam memberi sedikit asakan, kejutan dan rangsangan kepada kerajaan pimpinannya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan