JENAYAH & MAHKAMAH

KPDN PERAK SERBU PREMIS JADI STOR SIMPANAN BARANG KAWALAN BERSUBSIDI

11/01/2025 03:51 PM

IPOH, 11 Jan (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita barang kawalan bersubsidi yang disimpan tanpa lesen dalam serbuan di sebuah premis makanan sejuk di Seri Manjung di sini semalam.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan yang dilakukan kira-kira pukul 10.12 pagi itu telah menemukan barang kawalan seperti tepung gandum, gula pasir kasar serta minyak masak peket yang dianggarkan bernilai RM4,703.27 di dalam premis dua tingkat itu.

“Siasatan awal mendapati pemilik premis gagal mengemukakan Lesen Runcit Barang Kawalan Berjadual (CSA) Borong atau Runcit kawalan gula, tepung gandum dan minyak masak.

“Barangan yang ditemukan ialah gula pasir kasar 1 kilogram (kg) sebanyak 551 kg, tepung gandum pelbagai jenama sebanyak 1,224.2 kg dan minyak masak peket 1 kg bersubsidi sebanyak 500 kg,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Kamalludin berkata semua barangan itu disita dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN memberi amaran keras kepada pihak yang berkenaan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan. Mana-mana individu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan tindakan perundangan,” katanya.

Selain itu, beliau meminta masyarakat supaya bekerjasama dalam memastikan inisiatif KITA GEMPUR yang dilancarkan sejak 19 Okt tahun lepas berjaya membanteras sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi di negeri ini.

“Masyarakat disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat salah laku peniaga ke mana-mana cawangan KPDN berdekatan atau portal e-aduan@kpdn.gov.my,” katanya.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan