AM

MOT AKAN ADAKAN LAWATAN KE THAILAND, TINGKAT SINERGI SEKTOR REL

20/01/2025 05:49 PM

SEREMBAN, 20 Jan (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) bakal mengadakan lawatan kerja ke Bangkok pada Mac atau April ini bagi meningkatkan sinergi kerjasama antara Malaysia-Thailand dalam sektor rel, kata Menterinya Anthony Loke.

Beliau berkata pihaknya menerima jemputan daripada Menteri Pengangkutan Thailand dan menyifatkan sokongan serta kerjasama negara ini sangat penting bagi memastikan rancangan melaksanakan rel Pan Asia tercapai.

“Rel Pan Asia ini kita telah kerjasama dengan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan The State Railway of Thailand, sekarang pun memang ada perkhidmatan ASEAN Express untuk kargo antara Malaysia dan China, walaupun kekerapan agak rendah kita harap ia dapat ditambah baik.

“Kalau bercakap tentang Pan Asia, memang kerjasama Thailand amat penting, tanpa sokongan mereka, tren kita tidak boleh lalu ke utara, infrastruktur juga tersedia jadi memang ada projek tambah baik landasan (rel) di kedua-dua belah pihak,” katanya kepada pemberita.

Loke berkata demikian selepas majlis selepas Majlis Penyerahan Tren ETS Class 93, Projek Penyelenggaraan, Pembaikan dan Baik Pulih (MRO) kepada Kementerian Pengangkutan di Depoh EMU KTMB di sini hari ini.

RAILTEC ialah satu usaha sama strategik antara Destini Berhad dan KTMB yang juga tonggak utama dalam sektor MRO kereta api di negara ini.

Media sebelum ini melaporkan MOT berharap perancangan pembangunan rangkaian rel kereta api menghubungkan Malaysia dan China dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Sementara itu, Loke dalam ucapannya berkata sektor perkhidmatan MRO bukan sahaja menyokong pembangunan infrastruktur malah ia elemen penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta sosial selaras aspirasi Malaysia menjadi hab pengangkutan rel serantau yang unggul.

“Bagi mencapai sasaran 80 peratus penggunaan landasan kereta api di Semenanjung Malaysia menjelang 2030, kerajaan membangunkan pelan berperingkat untuk meningkatkan perkhidmatan kereta api penumpang di seluruh Malaysia (2024-2030) dengan menyasarkan 299 operasi kereta api penumpang di seluruh negara. 

"Peluang besar ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjadikan Malaysia peneraju bidang ini (MRO), memandangkan kerajaan juga telah melabur secara signifikan dalam infrastruktur rel termasuk projek seperti MRT dan LRT. 

"Dengan usaha ini, kita bukan sahaja dapat memodenkan sektor rel negara tetapi juga mencipta peluang pekerjaan baharu yang berkemahiran tinggi, selain giat melaksanakan pelbagai inisiatif berterusan untuk meningkatkan pelaburan dalam pembangunan MRO dan teknologi terkini," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan