IPOH, 21 Jan (Bernama) -- Empat sekeluarga cedera dalam kemalangan melibatkan tiga kereta melanggar tayar kiri lori tangki muatan minyak 45 tan yang tercabut di Kilometer (KM) 199 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) menghala ke selatan dekat Sitiawan, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa yang menaiki kereta jenis Toyota Yaris itu, melibatkan wanita berusia 36 tahun yang tersepit, lelaki berumur 35 tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga serta empat tahun.
Beliau berkata bagaimanapun tiga lelaki yang menaiki kereta jenis Honda Civic, Mercedes dan lori tangki jenis Volvo secara berasingan, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sabarodzi berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kemalangan itu pada 8.40 malam sebelum jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dan BBP Seri Manjung tiba ke lokasi kejadian 13 minit kemudiannya.
“Ketua operasi melaksanakan size-up, seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (System Approach To Victim Entrapment Rescue) dengan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Seorang mangsa yang tersepit dibawa oleh EMRS (Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan), manakala tiga mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak KKM (Kementerian Kesihatan) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Sabarodzi berkata operasi tamat pada 10.36 malam.
-- BERNAMA