DUNIA

PASARAN GETAH KL DITUTUP BERCAMPUR-CAMPUR SUSULAN REAKSI CADANGAN TARIF AS KE ATAS CHINA

22/01/2025 08:19 PM

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 22 Jan (Bernama) -- Pasaran getah tempatan menunjukkan aliran bercampur-campur pada Rabu berikutan sentimen menjadi lemah selepas Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump membayangkan hasratnya untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas import dari China bermula 1 Februari, kata peniaga.

Laporan itu turut menjejaskan pasaran minyak mentah dan memberikan tekanan kepada harga dengan minyak Brent susut 0.14 peratus kepada US$79.30 setong pada pukul 5 petang.

“Bagaimanapun, penurunan (di pasaran getah tempatan) dikekang oleh kebimbangan mengenai bekalan getah asli yang terhad susulan laporan ramalan cuaca,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata niaga hadapan getah Jepun meningkat lebih tinggi hari ini apabila cuaca buruk yang melanda negara pengeluar utama Thailand mencetuskan kebimbangan mengenai bekalan walaupun kemungkinan tarif baharu oleh Trump telah mengehadkan kenaikan.

Beliau yang memetik laporan agensi meteorologi Thailand berkata pihak berkuasa itu telah mengeluarkan amaran hujan lebat hingga sangat lebat yang boleh mengakibatkan banjir kilat bermula 21 hingga 25 Jan, 2025.

Pada pukul 3 petang, Lembaga Getah Malaysia memaklumkan harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 susut 4.5 sen kepada 886.50 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik lima sen kepada 679 sen sekilogram.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan