EKONOMI

PROTON PACU MOBILITI LESTARI MELALUI PANDU UJI MEDIA PERTAMA E.MAS 7

24/01/2025 04:52 PM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

MELAKA, 24 Jan (Bernama) -- Proton Holdings Bhd mengambil langkah penting ke hadapan dalam mobiliti lestari dengan memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) pertama yang dihasilkan secara besar-besaran di Malaysia, "e.MAS 7" melalui pandu uji media pertamanya.

Acara eksklusif selama tiga hari yang bermula pada 23 Januari memberi peluang kepada wakil media Malaysia untuk meneroka ciri-ciri terkini e.MAS 7 sewaktu melakukan perjalanan ke bandar bersejarah Melaka.

Inisiatif ini menekankan komitmen Proton untuk menyediakan penyelesaian inovatif dan lestari bagi pemandu moden.

Ketua kandungan ZakirinMedia, Muhammad Zakirin Md Tajuddin memuji prestasi e.MAS 7 dan membandingkannya dengan kenderaan antarabangsa yang pernah dipandunya sebelum ini.

“Kuasa yang diberikan adalah baik dan pecutannya sangat mengagumkan (kerana) anda boleh mencapai kelajuan sehingga 160 kilometer sejam dalam sekelip mata yang luar biasa untuk sebuah kereta dalam julat harga sebegini,” katanya kepada Bernama.

Zakirin berkata e.MAS 7 menonjol dalam kelompok EV yang berharga di bawah RM120,000 selain menawarkan ciri-ciri yang jarang dilihat dalam segmen berkenaan.

"Dengan ciri-ciri yang setanding dengan EV kelas atasan, e.MAS 7 menunjukkan komitmen Proton terhadap kemampuan harga selain menawarkan cadangan nilai yang sangat baik kepada rakyat Malaysia," katanya.

Sementara itu, penulis junior Autobuzz Wong Jun Yuan menggambarkan pengalaman uji pandu keseluruhan sebagai cemerlang, sambil berkata pemanduan dan pengendalian e.MAS 7 baik dengan pengalaman pemanduan yang kurang kaku berbanding EV lain di pasaran.

"Saya ingin menekankan titik harga. Memandangkan ciri-ciri yang ditawarkannya, e.MAS 7 berpotensi untuk mengubah landskap pasaran EV tempatan," katanya kepada Bernama.

Apabila ditanya sama ada e.MAS 7 boleh bersaing dengan jenama EV yang sudah terkenal, Wong berkata, ia merupakan pakej yang seimbang dari segi prestasi, ciri-ciri dan harga.

"Namun, terdapat beberapa bahagian yang boleh diperbaiki seperti penambahan penutup tonneau untuk ruang but belakang dan ruang bonet depan.

"Ini bukan perkara yang menghalang, tetapi pasti akan meningkatkan tawaran keseluruhan," katanya.

Wong berkata walaupun e.MAS 7 mungkin belum menjadi simbol kebanggaan negara, namun, ia mewakili satu pencapaian penting dengan membuka jalan untuk pembangunan EV buatan tempatan sepenuhnya di Malaysia pada masa depan.

Proton e.MAS 7 merangkumi visi jenama tersebut untuk menjadikan mobiliti lestari lebih mudah diakses oleh rakyat Malaysia.

Seiring dengan pertumbuhan pasaran EV tempatan, e.MAS 7 merupakan bukti kemampuan Proton untuk berinovasi sambil kekal mampu milik selain meletakkan asas yang kukuh untuk masa depan EV buatan tempatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan