BALIK PULAU, 28 Jan (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki menjadi keldai akaun kepada sindiket penipuan berkaitan pinjaman tidak wujud secara dalam talian, melibatkan kerugian hingga RM39,000 kepada mangsa baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya ACP Sazalee Adam berkata lelaki 23 tahun itu ditahan di sini semalam hasil maklumat awam dan risikan berhubung kejadian di Bayan Lepas itu.
"Berdasarkan siasatan, mangsa telah membuat 19 transaksi secara dalam talian dengan jumlah keseluruhan RM39,000, namun tidak mendapat pinjaman wang seperti dijanjikan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata lelaki itu kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan menipu.
-- BERNAMA