MELAKA, 29 Jan (Bernama) -- Peruntukan kira-kira RM150,000 dalam bentuk baucar membeli pelbagai juadah makanan disediakan sempena Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina peringkat Melaka yang akan diadakan di Jalan Rahmat 4, Malim Jaya pada 8 Feb ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kesidang Allex Seah Shoo Chin berkata pengunjung akan diberi baucar bernilai RM15 setiap seorang dan dianggarkan 10,000 orang dijangka hadir bagi memeriahkan sambutan berkenaan bermula 6 petang hingga 11 malam.
"Majlis berkenaan bukan berkonsepkan jamuan makan sebaliknya pengunjung boleh membeli pelbagai juadah makanan dan minuman di premis makanan dan gerai makan sekitar kawasan sambutan menggunakan baucar yang ditebus.
"Bagaimanapun setiap seorang pengunjung hanya boleh menebus satu baucar berkenaan dan setakat ini terdapat 30 premis jualan termasuk makanan halal terlibat bagi penebusan baucar itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata kaedah pemberian baucar bukan sahaja memudahkan pengunjung memilih makanan atau minuman mengikut selera mereka, tetapi juga secara tidak langsung membantu peniaga kecil di sekitar kawasan terlibat.
Seah berkata pengunjung juga berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan kesenian dan kebudayaan masyarakat Tionghua sepanjang majlis sambutan berlangsung.
Cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik dan lumayan, katanya disediakan kepada pengunjung dan mereka tidak perlu risau tentang tempat meletak kenderaan kerana ia mencukupi.
Majlis berkenaan dijadual dihadiri Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan barisan kepimpinan kerajaan negeri.
-- BERNAMA