TOKYO, 31 Jan (Bernama-Kyodo) -- Honda Motor Co dan Nissan Motor Co dijangka mengumumkan butiran terperinci mengenai rancangan penggabungan syarikat pada pertengahan Februari, lapor Kyodo News pada Jumaat dengan memetik pegawai syarikat.
Dua pengeluar kenderaan terbesar kedua dan ketiga Jepun berdasarkan jumlah jualan itu sebelum ini bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai penggabungan di bawah sebuah syarikat induk pada 2026. Mereka sebelum ini menyatakan akan mendedahkan perincian penggabungan menjelang akhir Januari.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, Honda menggesa Nissan, yang sedang bergelut dengan masalah kewangan, untuk memperkukuh usaha penstrukturan semula.
November lalu, Nissan mengumumkan pengurangan 9,000 pekerja di seluruh dunia dan pengurangan kapasiti pengeluaran global sebanyak 20 peratus selepas melaporkan kejatuhan lebih 90 peratus dalam keuntungan bersih bagi tempoh April-September.
Sementara itu, Mitsubishi Motors Corp rakan kongsi Nissan, yang sebelum ini mempertimbangkan untuk menyertai penggabungan, kini cenderung untuk bergerak sendiri, menurut sumber lain.
-- BERNAMA-KYODO