JENAYAH & MAHKAMAH

WANITA TIPU ISTERI PELAWAK ADA LIMA REKOD PENIPUAN 

31/01/2025 03:30 PM

SHAH ALAM, 31 Jan (Bernama) -- Seorang wanita yang ditahan berhubung siasatan laporan kes penipuan berjumlah RM95,180 yang dibuat isteri kepada seorang pelakon dan pelawak, dikesan mempunyai lima rekod penipuan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata selain Selangor, Negeri Sembilan dan Kedah, wanita berkenaan turut terlibat dengan satu kes yang masih dikehendaki di Sabah.

“Suspek wanita itu kini direman empat hari, manakala suaminya selama tiga hari (bermula semalam) untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mengesan jika wujud penglibatan pihak berkuasa berhubung dakwaan suspek wanita itu untuk membantu menurunkan seksyen tuduhan terhadap suaminya.

Semalam, media melaporkan satu pasangan suami isteri berusia lingkungan 20-an ditahan di kediaman mereka di Salak Tinggi, Sepang berhubung kes penipuan berjumlah RM95,180 membabitkan isteri seorang pelawak.

Mengulas berhubung perkembangan kes kematian empat individu pada konsert ambang tahun baharu di Bandar Sunway baru-baru ini, Hussein berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan operator berhubung penyelarasan serta prosedur operasi standard (SOP) memasuki konsert. 

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor Datuk Ng Suee Lim dilaporkan berkata pemantauan untuk memasuki konsert lebih diperketat dan ia memerlukan kerjasama daripada pihak berkuasa dan polis.

Mengulas status tangkapan terhadap tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan menjual dadah pada konsert itu, Hussein berkata dua daripada mereka sudah dituduh masing-masing pada 7 dan 9 Jan.

“Kedua-dua suspek itu dituduh mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala tiada pertuduhan dikenakan terhadap seorang lagi individu,” katanya.

Polis sebelum ini menerima enam laporan daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung tujuh pengunjung konsert itu yang mendapat rawatan selepas mengalami simptom yang sama dipercayai mengambil dadah.

Empat daripada mereka meninggal dunia, manakala tiga selamat dan sudah dibenarkan keluar hospital.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan