AM

JENAMAKAN UUM SEBAGAI 'TOP BUSINESS SCHOOL' UNTUK TERUS KEKAL RELEVAN - MEGAT SANY

18/02/2025 03:13 PM

SINTOK, 18 Feb (Bernama) -- Universiti Utara Malaysia (UUM) tidak boleh terperangkap dalam nostalgia kejayaan silam, sebaliknya perlu bergerak ke hadapan, berinovasi dan memastikan ia terus kekal relevan dalam dunia pendidikan tinggi yang semakin kompetitif.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian berkata satu langkah yang baik jika UUM dijenamakan sebagai Top Business School di negara ini.

"UUM dikenali sebagai universiti pengurusan sejak ia mula beroperasi dan dalam tempoh ini, kita menyaksikan banyak perubahan dan kemajuan, bukan sahaja dalam akademik dan penyelidikan, malah dalam membentuk keunggulan modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negara.

"(Bagaimanapun) bakal-bakal pelajar di peringkat antarabangsa sedang mencari-cari universiti terkemuka di negara ini dalam kategori Top Business School," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Pengasasan UUM ke-41 dan Penghargaan Petugas Majlis Konvokesyen ke-37 di Dewan Mu’adzam Shah UUM di sini hari ini, yang turut dihadiri Naib Canselor UUM Prof. Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan.

Pada majlis sama, Megat Sany turut melancarkan Program Mobiliti Pelajar ASEAN sempena penganjuran Pameran dan Forum Universiti ASEAN 2025 (AEF2025) yang akan berlangsung di Petaling Jaya, Selangor pada 24 dan 25 Feb ini.

Megat Sany berkata dalam data terbaharu Education Malaysia Global Services (EMGS), peratusan tertinggi permohonan dari luar negara untuk menyambung pengajian di negara ini adalah bidang pentadbiran dan perniagaan.

"Universiti yang paling sesuai diasosiasikan dengan pentadbiran dan perniagaan ialah UUM. Oleh itu UUM mesti muncul sebagai nombor satu Top Business School di negara ini, sekali gus membuktikan bahawa universiti ini menerima bilangan pelajar antarabangsa teramai yang mendaftar diri.

"Saya yakin dan percaya bahawa UUM mampu melonjak lebih tinggi lagi dari segi kedudukan semasa. Kejayaan UUM selama 41 tahun ini bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada lembaran baharu yang lebih mencabar dan bermakna," katanya.

Beliau berkata setiap kejayaan yang terhasil adalah berkat usaha dan dedikasi semua pihak termasuk para pensyarah, kakitangan, pelajar, alumni serta rakan industri yang bersama-sama menjadikan UUM unggul dalam bidang pengurusan.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan