JENAYAH & MAHKAMAH

JIM KUALA LUMPUR SERBU FLAT 14 TINGKAT, 124 PENDATANG TANPA IZIN DITAHAN

19/02/2025 11:08 AM

KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 124 pendatang tanpa izin dalam serbuan di sebuah bangunan rumah flat 14 tingkat di Jalan Haji Hussein, Chow Kit di sini awal pagi tadi.

Pengarah JIM Kuala Lumpur Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff berkata 84 warga Indonesia, Bangladesh (17), Pakistan (14), Nepal (4), India (3) dan Myanmar (2) ditahan kerana disyaki tinggal di negara ini tanpa permit sah dan melebihi masa yang ditetapkan.

“Operasi pagi ini diadakan berikutan aduan awam berkaitan kebanjiran pendatang tanpa izin yang menimbulkan ketidakselesaan masyarakat setempat dan serbuan mendapati mereka tinggal secara bersesak-sesak dalam keadaan kotor yang mungkin menjejaskan kesihatan.

“Ada sebuah unit… 23 orang tinggal di rumah yang mempunyai lima bilik dengan kadar sewaan RM800 hingga RM2,200 bagi setiap bilik dengan kebanyakan mereka juga didapati bekerja di sekitar kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi serbuan berkenaan di sini hari ini.

Wan Mohamed Saupee berkata operasi bermula pukul 1 pagi dan berakhir 3 pagi itu membabitkan 50 anggota JIM Kuala Lumpur dan 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tinjauan Bernama ketika serbuan mendapati setiap tingkat di flat berkenaan terdiri daripada 10 unit rumah yang mempunyai tiga hingga lima bilik dan setiap unit diperiksa anggota penguat kuasa, dengan ada penghuni mengambil masa sangat lama sebelum membuka pintu.

Ada antara penghuni yang sengaja mendiamkan diri sehingga mangga kunci di pintu unit mereka terpaksa dipotong dan beberapa pendatang tanpa izin didapati cuba bersembunyi di celah-celah perabot, sudut bilik yang gelap dan bumbung balkoni ketika serbuan, namun dapat dikesan pasukan penguat kuasa.

Keadaan di flat berkenaan juga didapati tidak terurus dan kotor dengan banyak sampah sarap diletakkan di koridor, manakala lif di bangunan itu dipercayai tidak beroperasi sejak sekian lama kerana banyak perabot yang sudah tidak digunakan lagi dikumpulkan di hadapan lobi lif. 

Dalam pada itu, Wan Mohamed Saupee berkata bermula 1 Jan lepas hingga hari ini, JIM Kuala Lumpur sudah melaksanakan 119 operasi dan 1,943 individu diperiksa, dengan 920 daripada mereka didapati pendatang tanpa izin serta telah ditahan.

“30 warga tempatan yang terlibat dan dikategorikan sebagai majikan turut ditahan dan mereka akan disiasat serta dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pendatang tanpa izin supaya tidak mempercayai khabar angin yang mengatakan Program Repatriasi Migran JIM yang dilaksanakan bermula 1 Mac hingga 31 Dis lepas akan disambung setahun lagi.

“Ramai yang sebenarnya tiada dokumen dan menyalahi peraturan imigresen masih membuat keputusan untuk terus tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur kerana mereka mendapat maklumat yang salah,” katanya

– BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan