PUTRAJAYA, 24 Feb (Bernama) -- Media memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran nasional di samping menggalakkan tanggungjawab kolektif dalam memerangi rasuah, dan pada masa yang sama semua sektor masyarakat perlu bersatu dalam usaha menangani dan memerangi isu ini dengan berkesan, kata Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Beliau berkata semasa kekecewaan orang ramai terhadap kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia tidak berubah, boleh difahami, namun usaha menangani rasuah memerlukan komitmen jangka panjang dan berterusan melangkaui langkah-langkah penguatkuasaan.
“Persepsi itu telah menjadi satu tahap yang menyaksikan kebanyakan rakyat Malaysia merasakan bahawa rasuah di negara ini telah menjadi endemik. Mereka merasakan bahawa ia telah lama berakar umbi, dan adalah penting untuk kerajaan mengakui bahawa rasuah telah menjadi masalah serius di Malaysia.
“Rakyat biasa merasakan bahawa apa yang telah dilakukan untuk memerangi rasuah nampaknya tidak cukup, dan kedudukan kita dalam Indeks CPI tidak bertambah baik, tetapi hakikatnya semua ini tidak boleh diperbaiki atau diperbetulkan dalam sekelip mata.
“Ia memerlukan banyak usaha, mengambil banyak masa, bertahun-tahun lamanya untuk menggerakkan momentumnya,” katanya kepada Bernama pada Persidangan Tadbir Urus Baik (GGC) 2025 di sini, hari ini.
Wong yang juga anggota Pasukan Petugas Khas CPI, menyertai perbincangan panel mengenai peranan media dalam mengukuhkan tadbir urus.
Beliau berkata usaha menangani rasuah tidak seharusnya menjadi tanggungjawab penuh agensi penguat kuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semata-semata, tetapi ia harus turut melibatkan kelompok yang lebih besar, termasuk media, pendidik dan institusi agama.
“Ia harus bermula dari sekolah, dengan kanak-kanak diajar bahawa rasuah tidak boleh diterima. Ia mesti turut merangkumi pembabitan media yang berganding bahu berterusan mengetengahkan isu rasuah. Ia membabitkan semua, sektor awam mahupun swasta,” katanya.
Wong berkata sebagai sebuah agensi berita nasional, Bernama memainkan peranan penting dalam memacu naratif anti-rasuah, menyediakan maklumat yang boleh dipercayai kepada organisasi media di seluruh negara yang mungkin kekurangan sumber, untuk mengekalkan laporan penyiasatan yang mendalam.
Beliau seterusnya menggesa institusi agama untuk memperkukuh nilai antirasuah, dan beliau turut memperakui pengaruh pemimpin agama tanpa mengira sebarang kepercayaan dalam membentuk perspektif moral dalam masyarakat.
Menyedari impak platform digital yang semakin meningkat, Wong turut menyeru pempengaruh media sosial dan pemimpin utama untuk menggunakan pengaruh mereka bagi memerangi rasuah.
“Mereka sering berada di Instagram, TikTok, dan YouTube, jadi kita perlukan mereka untuk tampil memainkan peranan dalam menyokong usaha kerajaan memerangi rasuah,” katanya.
Untuk rekod, kedudukan Malaysia dalam CPI 2024 tidak berubah di tempat ke-57 daripada 180 negara, sama seperti pada 2023.
-- BERNAMA