AM

MALAYSIA MOHON LONGGAR SYARAT BAGI TIMOR-LESTE JADI ANGGOTA PENUH ASEAN

03/03/2025 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Malaysia telah memohon untuk melonggarkan prasyarat yang ditetapkan ke atas Timor-Leste bagi mempercepatkan proses negara itu menjadi anggota penuh ASEAN menjelang hujung tahun ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata berdasarkan peraturan sedia ada, terdapat 88 prasyarat ditetapkan yang perlu dipenuhi oleh Timor-Leste sebelum boleh menjadi ahli penuh rantau itu.

"Daripada 88 prasyarat tersebut, terdapat 69 prasyarat daripada tonggak ekonomi perlu mereka (Timor-Leste) penuhi dan ini merupakan suatu perkara yang amat susah untuk mereka lakukan.

"Maka kita telah pun bersetuju pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-45 di Vientiane, Laos tahun lepas supaya proses keahlian Timor-Leste dipercepatkan, supaya ia dapat diterjemahkan dan direalisasikan," katanya ketika sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawapan lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli tentang rancangan kerajaan untuk membawa masuk Timor-Leste sebagai ahli ASEAN dalam tempoh Kepengerusian ASEAN ini.

Mohamad berkata dalam mesyuarat tonggak ekonomi atau Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) di Desaru, Johor, baru-baru ini, selaku pengerusi menteri-menteri beliau telah memohon supaya syarat yang ketat itu diperhatikan semula kerana memang ada syarat yang telah lapuk dan boleh dilonggarkan tanpa perlu dipenuhi oleh negara itu. 

“Maka pada tahun lepas kita telah pun melonggarkan, walaupun bukan sebagai ahli penuh Timor-Leste boleh mengambil bahagian dalam perbincangan di mesyuarat tetapi dengan syarat mereka ini tidak boleh membuat keputusan.

“Usaha dilakukan oleh Malaysia selaku pengerusi pada tahun ini adalah untuk kita mempercepatkan dan memohon rakan negara ASEAN agar ada pertimbangan yang baik diberikan untuk Timor-Leste memenuhi bukan sepenuhnya tetapi jika boleh 30 peratus dulu syarat.

“Kita bagi mereka kelonggaran dalam lima hingga enam tahun selepas menjadi anggota penuh (untuk) mereka memenuhi syarat ini dan kita membantu ASEAN dengan menubuhkan apa yang dipanggil sebagai unit ASEAN di sekretariat ASEAN di Jakarta,” katanya.

Beliau berkata Malaysia telah memberikan peruntukan US$200,000 bagi membiayai unit itu untuk membantu Timor-Leste mencapai proses memenuhi syarat tersebut.

Mohamad  berkata Malaysia menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP) juga telah melatih lebih 300 pegawai dari Timor-Leste dan membelanjakan lebih RM1 juta bagi menempatkan mereka di kementerian dan agensi untuk melihat bagaimana menjadi sebuah negara ASEAN berfungsi apabila mereka diterima sepenuhnya menganggotai pertubuhan serantau itu.  

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan