AM

BERITA RINGKAS DEWAN NEGARA: 3 MAC

03/03/2025 04:51 PM

 

KPKT PERUNTUK RM40 JUTA SELENGGARA 147 PROJEK DI BAWAH PPP

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah membelanjakan RM40 juta untuk 147 projek penyelenggaraan khususnya perumahan awam bagi 2024 di bawah Program Penyenggaraan Perumahan (PPP).

Timbalan Menteri KPKT Datuk Aiman Athirah Sabu berkata kementerian itu turut membelanjakan RM19.1 juta bagi 76 projek membaik pulih dan menggantikan lif  uzur di bawah inisiatif Lif MADANI 2.0.

“Bagi 2025, KPKT telah menerima 406 permohonan di bawah 10 skop melibatkan kos RM163.8 juta. Siling peruntukan diterima di bawah PPP ialah RM47.9 juta, 29 peratus daripada keseluruhan kos permohonan tersebut,” katanya menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda berkaitan langkah menangani isu penyelenggaraan rumah kos rendah dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Dewan Negara hari ini.

Skop itu antaranya membaiki dan menggantikan lif, tangki air dan sistem retikulasi, paip sanitari, bumbung, tangga atau susur tangan, mengecat semula bangunan dan harta bersama, pendawaian semula dan kerja elektrik serta membaiki atau menggantikan kemudahan serta infrastruktur awam.

-- BERNAMA

 

PENDAPATAN PELANCONGAN 2024 CECAH RM106.7 BILION

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Pendapatan dijana daripada jumlah perbelanjaan pelawat asing pada tahun lepas melonjak kepada RM106.7 bilion, peningkatan 43.7 peratus berbanding RM74.3 bilion direkodkan pada 2023.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akbar Khan berkata angka itu melepasi paras prapandemik sebanyak 20 peratus, dengan jumlah perbelanjaan pelawat asing direkodkan pada 2019 ialah RM89 bilion.

“Bagi tempoh Januari hingga Disember 2024, Malaysia mencatatkan ketibaan 38 juta pelawat asing dengan peningkatan 31.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2023, dengan rekod ketibaan 29 juta pelawat asing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Pele Peter Tinggom jika kerajaan mencapai sasaran kedatangan pelancong pada 2024.

-- BERNAMA

 

SISTEM HS-WIM DIJANGKA BEROPERASI SUKU KETIGA TAHUN INI

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Sistem High Speed-Weight in Motion (HS-WIM) yang bertujuan memantau muatan kenderaan berat secara automatik, dijangka mula beroperasi pada suku ketiga tahun ini. 

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata pemasangan akan dibuat di 11 lokasi dengan dua lokasi siap proses pembuktian konsep (POC).

“Kementerian Pengangkutan juga memperketat prosedur pemeriksaan berkala kenderaan berat dengan memberi penekanan kepada komponen seperti sistem brek dan tayar, selain menambah jumlah pusat pemeriksaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Salehuddin Saidin yang ingin tahu tindakan kerajaan terhadap isu pemandu kenderaan berat memandu melebihi had laju serta tidak menyelenggara kenderaan sehingga menyebabkan peningkatan kadar kemalangan dan kematian.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan