KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Menjelang Aidilfitri yang berbaki tiga minggu sahaja lagi, khabar gembira keuntungan boleh agih FELCRA bagi tahun 2024 yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam, sedikit sebanyak memberi nafas lega kepada peserta Projek FELCRA di seluruh negara.
Ibarat durian runtuh, rata-rata peserta meluahkan rasa syukur dengan keuntungan berjumlah RM192.51 juta menerusi Projek Peserta FELCRA, sekali gus memberi dividen yang lebih tinggi kepada 68,400 peserta untuk dimanfaatkan khususnya kepada peserta yang akan menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti.
Di PAHANG, seorang peserta Shamsiah Osman, 59, dari FELCRA Salong, Felcra Bhd Kawasan Pahang Tenggara, Pekan berkata berita menggembirakan itu pasti akan membantu mereka membuat persiapan raya, namun pada masa sama turut mengingatkan peserta lain agar tidak lupa menyimpan dan membuat perancangan sewajarnya.
“Sebab ini paling tinggi, risau juga kalau ada yang terlupa untuk merancang dan menyimpan. Saya mengingatkan diri saya dan semua (peserta) supaya perlu buat simpanan kerana hasil diperolehi ini tidak menentu, ikut harga pasaran.
“Selain itu perlu berhati-hati juga dengan scammer. Risau jugalah, berita gembira ini akan menarik perhatian mereka ini untuk memperdaya peserta FELCRA, tambahan pula mereka sentiasa bertukar taktik,” katanya kepada Bernama.
Di TERENGGANU, seorang peserta Zaharan Zainal Abidin berkata dividen yang diperolehi itu membantu isteri dan tiga anaknya membuat persiapan menyambut Aidilfitri dengan lebih baik tahun ini.
Zaharan, 43, yang menetap di Panji Alam, Kuala Terengganu berkata secara keseluruhan dia menerima keuntungan lebih RM30,000 yang diibaratkan sebagai durian runtuh.
"Ini adalah kali pertama saya menerima dividen (keuntungan) sebagai peserta FELCRA yang diwarisi daripada arwah bapa. Alhamdulillah tahun ini kami dapat beraya dengan lebih meriah. Saya hanya kerja kampung...pendapatan tak menentu. Jadi hari raya biasanya kami sambut dengan seadanya," katanya.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Negeri FELCRA Berhad Tengah Faiz Shafiq Zainal Abidin berkata pengumuman berkenaan pastinya memberikan kegembiraan kepada lebih 12,000 peserta di negeri itu, sekali gus mampu meningkatkan taraf ekonomi mereka.
“Peserta kami memberi sepenuh kepercayaan dan menyerahkan tanah mereka untuk diuruskan FELCRA dengan harapan ia memberi pulangan kepada mereka, dan hari ini (pengumuman) keuntungan itu telah meningkat, ia secara tidak langsung dapat meringankan beban hidup mereka,” katanya.
Beliau berkata keuntungan boleh agih di FELCRA Negeri Sembilan turut meningkat seiring prestasi FELCRA di peringkat pusat dengan keuntungan boleh agih pada tahun lepas merekodkan RM32.45 juta berbanding RM12.72 juta tahun sebelumnya.
Sementara itu di KEDAH, Ketua Peserta FELCRA Kawasan Kubang Kenyeng, Alimen Ahmad, 67, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih atas pengumuman untung boleh agih yang luar biasa itu, semalam.
Alimen yang mewakili 77 peserta di kawasannya berkata pengumuman kadar dividen sudah pastinya satu rahmat dan berita gembira buat semua peserta FELCRA terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
"Difahamkan bayaran telah dimasukkan ke dalam akaun peserta. Ini lebih daripada dapat membantu menampung perbelanjaan pada Ramadan dan Aidilfitri nanti, ini juga sudah pasti turut membahagiakan keluarga peserta, dapatlah beri duit raya lebih pada anak-anak dan cucu-cucu," katanya.
Semalam Ahmad Zahid memaklumkan bahawa FELCRA Bhd meraih keuntungan boleh agih bagi tempoh akhir 2024 berjumlah RM192.51 juta menerusi Projek Peserta FELCRA iaitu lonjakan sebanyak 154 peratus atau RM116.3 juta berbanding tempoh sama pada 2023.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) berkata keuntungan dijana daripada 583 projek itu diagihkan secara berperingkat mulai semalam.
FELCRA Bhd secara keseluruhannya bagi 2024 berjaya mencatatkan keuntungan boleh agih sebanyak RM521.9 juta iaitu peningkatan 138.4 peratus berbanding 2023.
-- BERNAMA