KUANTAN, 9 Mac (Bernama) -- Menjelang Ramadan, ‘air tangan’ Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam menyediakan juadah istimewa resipi asli bubur lambuk Istana Pahang pastinya menjadi tumpuan, bukan sahaja rakyat jelata negeri ini tetapi juga penghuni penjara.
Meneruskan tradisi itu bagi tahun ini, baginda berkenan berangkat ke Penjara Penor di sini pagi tadi bagi memasak resipi istimewa itu di perkarangan Bengkel Tenun Diraja Pahang, yang tentunya menjadi detik bermakna bagi penghuni di sebalik tirai besi tersebut.
Dengan dibantu kira-kira 50 penghuni penjara yang bergotong-royong seawal 7.30 pagi bagi menyediakan resipi istimewa itu, menurut hantaran yang dimuat naik di Facebook Kesultanan Pahang, kira-kira 2,000 bekas bubur lambuk berjaya disiapkan untuk diagihkan sebagai juadah berbuka puasa.
“Selepas siap memasak pada 1 tengah hari, baginda sendiri mengagihkan bubur lambuk kepada sebahagian banduan dengan dibantu oleh Tengku Puteri Raja Puteri IIisha Ameera Al-Sultan Abdullah R'’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Untuk rekod, Program Memasak Bubur Lambuk Tengku Ampuan Pahang Bersama Prospek Penjara ini bermula pada 2023 dan membabitkan Penjara Penor, Penjara Bentong dan Penjara Marang di Terengganu,” menurut hantaran tersebut.
Biarpun penyediaan juadah istimewa itu baru tiga kali dilakukan untuk penghuni tirai besi, bagi rakyat Pahang, ia sudah menjadi tradisi buat Tunku Azizah setiap kali menjelang Ramadan, bahkan sebelum baginda ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong ke-16.
Difahamkan, ‘air tangan’ Tengku Ampuan Pahang dalam menyediakan bubur lambuk Istana Pahang begitu istimewa dan menjadi kegemaran ramai setiap kali ia dimasak di luar istana kerana menggunakan pelbagai bahan segar di samping memiliki kandungan protein yang tinggi.
Keunikannya terletak pada penggunaan pelbagai sayuran seperti pucuk paku merah, selain turut menggunakan ikan tenggiri, udang, sotong, dan ayam sebagai ramuan utama.
Maka, tidak hairanlah bahawa gabungan ‘air tangan’ Tunku Azizah dan resipi istimewa Istana Pahang ini sentiasa menjadi penantian setiap kali Ramadan.
-- BERNAMA