AM

ANWAR SAMPAIKAN SUMBANGAN TABUNG KASIH@HAWANA KEPADA PENGAMAL MEDIA VETERAN

12/03/2025 12:02 AM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada sepuluh veteran media yang diuji dengan masalah kesihatan bagi membantu mereka membuat persiapan menjelang sambutan Aidilfitri.

Sumbangan itu disampaikan Perdana Menteri ketika menyantuni pengamal media berkenaan pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri Bersama Pengamal Media di Angkasapuri, Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj. 

Tabung Kasih@HAWANA yang diwujudkan sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan dikendalikan oleh BERNAMA, bertujuan menyantuni pengamal media.

Penerima sumbangan pada majlis hari ini ialah tiga veteran New Straits Times (NSTP) Mohd Zaini Sayuti, Salmah Mohsin dan Dzulkeffli Mustapha; tiga veteran Berita Harian (BH) Hariyati Ariffin, Akmal Abdullah dan Mohd Ali Majid.

Selain itu dua veteran BERNAMA iaitu Fadzlon Ahmad dan Nik Mohamed Omar, veteran RTM Hajrahbi Muhammad dan seorang lagi dari Utusan Melayu Mohd Ifqdar Abdul Rahman.

Sejak dilancarkan pada April 2023, Tabung Kasih@HAWANA telah mememberi manfaat kepada 315 pengamal media seluruh negara.

Sementara itu, penerima Tabung Kasih@HAWANA menzahirkan rasa syukur atas ingatan dan sumbangan diberikan sambil menyifatkan ia sebagai satu bantuan yang amat diperlukan di saat ditimpa ujian dalam kehidupan.

Bekas Pengarang Hiburan Berita Harian (BH) Akmal Abdullah yang menderita penyakit buah pinggang berkata beliau amat terharu dengan sumbangan daripada Tabung Kasih@HAWANA yang disifatkan tidak pernah lekang dalam menjaga kebajikan bekas pengamal media.

“Saya dah tiga kali terima bantuan HAWANA ini, terima kasih Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kementerian Komunikasi  dan Bernama. Bantuan ini amat bermakna untuk menampung kos dialisis saya yang mencecah RM3,900 sebulan,” katanya.

Bekas kakitangan Bernama yang berkhidmat selama 25 tahun bersama agensi berita itu, Fadzlon pula berkata beliau tidak sangka dipilih sebagai penerima dan menganggapnya sebagai satu kenangan manis pada Ramadan kali ini.

Bagi Ekhfa Mohd Khalid, isteri kepada Dzulkeffli yang juga bekas kakitangan New Straits Times menzahirkan rasa terima kasih kepada keprihatinan Bernama dan ahli jawatankuasa HAWANA yang menghulurkan bantuan kepada suaminya yang baharu sahaja disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

“Alhamdulillah di sebalik ujian menimpa suami dan kami sekeluarga, ada bantuan yang kami terima, syukur dan terima kasih,” katanya memaklumkan suaminya masih menerima rawatan di Hospital Tuanku Jaafar di Seremban sejak awal Ramadan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan