AM

BANKRAP: 13 ANGGOTA, PEGAWAI BOMBA DIKENAKAN TINDAKAN DISIPLIN

12/03/2025 11:21 AM

ALOR SETAR, 12 Mac (Bernama) -- Sebanyak 13 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang diisytiharkan bankrap dikenakan tindakan disiplin dalam tempoh lima tahun sejak 2020, kata Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.

Beliau berkata terdapat beberapa faktor yang menjerumuskan kakitangan JPBM dalam isu ini, antaranya menjadi penjamin kepada pihak lain yang membuat pinjaman bank.

“Bankrap ni disebabkan ada pegawai kita dia letakkan nama dalam syarikat, dia tak sedar dulu masa dia bujang letak nama dalam syarikat, bila syarikat ada masalah seperti tak bayar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), dia pun kena sekali.

“Keduanya saya tengok paling besar ialah dia menjadi penjamin orang lain buat pinjaman dan ketiga ialah penggunaan kad kredit dia punya sendiri, jadi keseluruhanya ada 13 orang yang telah kita kenakan tindakan disiplin,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Ibu Pejabat JBPM Kedah di sini, semalam.

Nor Hisham berkata angka itu dilihat kecil jika dibandingkan dengan keseluruhan anggota dan pegawai bomba yang keseluruhannya berjumlah lebih 16,000.

Bagaimanapun pihaknya memandang serius isu berkenaan, memandangkan ia boleh menjejaskan prestasi anggota dan pegawai yang terlibat.

“Bila dah bankrap ni dia duit tak dak, mood kerja dia jatuh tapi bila tengok pada trend yang saya nyatakan itu memang kita kekang dengn memantau secara bulanan status gaji supaya jika ada trigger kita akan ambil tindakan susulan,” katanya.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata seramai 19 pegawai dan anggota bomba diambil tindakan integriti dalaman dalam tempoh dua tahun ini, kerana membuat ulasan atau komen keterlaluan di media sosial.

“Dalam 19 orang ini, ada yang kita keluarkan amaran sahaja tetapi ada juga yang hilang kelayakan untuk dipertimbangkan APC dan pingat selama enam bulan bergantung kepada tahap keseriusan kesalahan mereka,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan