KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Pakar kesihatan menegaskan kepentingan menangani obesiti kerana berat badan berlebihan boleh merosakkan buah pinggang secara langsung, walaupun dalam kalangan individu yang tidak mempunyai penyakit berkaitan.
Dalam kenyataan, Pakar Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan Pemindahan Buah Pinggang Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway Prof Dr Wong Hin Seng menjelaskan bahawa obesiti boleh membebankan buah pinggang akibat keradangan kronik, tekanan oksidatif, peningkatan tekanan darah, dan penolakan insulin.
“Obesiti bukan sekadar membawa kepada diabetes atau tekanan darah tinggi, tetapi juga dikaitkan dengan peningkatan risiko batu karang dan pelbagai jenis kanser, termasuk kanser buah pinggang,” katanya.
Menurut Dr Wong, Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2023 melaporkan bahawa 56 peratus daripada kes dialisis baharu berpunca daripada diabetes, diikuti hipertensi (30 peratus), sekali gus mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penyakit buah pinggang.
“Kesan ini boleh menyebabkan kebocoran protein dalam air kencing, iaitu tanda awal kerosakan buah pinggang. Obesiti meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kronik (CKD) dan mempercepatkan perkembangannya. Apabila buah pinggang sentiasa berada dalam keadaan tertekan, ia akan gagal lebih cepat,” katanya.
"Buah pinggang berfungsi sebagai penapis semula jadi badan, menyingkirkan sisa dan cecair berlebihan, mengawal tekanan darah serta mengimbangi elektrolit bagi memastikan tubuh berfungsi dengan baik. Bagaimanapun, organ yang banyak bekerja keras ini boleh terjejas akibat berat badan berlebihan," jelasnya.
Beliau berkata budaya makanan Malaysia yang kaya dan digemari ramai turut menyumbang kepada krisis kesihatan yang semakin membimbangkan, dengan lebih separuh penduduk (54.4 peratus) mengalami masalah berat badan berlebihan atau obesiti. Keadaan ini menyebabkan lebih dua juta individu menghidap penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan hipertensi, yang seterusnya meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kronik.
Dr Wong memberi amaran bahawa bagi mereka yang bergelut dengan obesiti, penyakit buah pinggang boleh kekal tanpa disedari selama bertahun-tahun, dan apabila gejala seperti bengkak atau keletihan muncul, kerosakan yang berlaku selalunya sudah sukar untuk dipulihkan.
Beliau berkata semakin ramai golongan muda di Malaysia mengalami kerosakan buah pinggang akibat obesiti, yang menjejaskan tahun-tahun paling produktif dalam hidup mereka serta memberi tekanan besar kepada keluarga, sistem kesihatan dan negara.
“Jika anda mengalami obesiti sejak zaman kanak-kanak atau remaja, kesannya terhadap buah pinggang bermula lebih awal, dan anda mungkin sudah menghadapi penyakit buah pinggang kronik seawal usia 30-an atau 40-an,” katanya sambil merujuk kepada Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, yang mendapati 84 peratus orang dewasa berusia 18 hingga 24 tahun tidak menyedari bahawa mereka menghidap diabetes.
"Penyakit Buah Pinggang Kronik (CKD) peringkat lanjut (tahap 4 dan tahap 5) sering membawa kepada komplikasi seperti keterbatasan aktiviti fizikal, kesihatan mental yang terjejas dan penurunan kualiti hidup. Hidup dengan buah pinggang yang rosak adalah cabaran harian, bukan sekadar untuk terus bertahan, tetapi juga kehilangan keupayaan menikmati hidup sepenuhnya," katanya.
Dr Wong turut mengaitkan perubahan ketara dalam tabiat pemakanan dan gaya hidup sebagai punca utama peningkatan kadar obesiti yang membimbangkan di Malaysia. Jika dahulu diet tradisional kaya dengan serat dan bahan berkhasiat, kini ia semakin digantikan dengan makanan diproses dan minuman bergula yang berlebihan.
Risiko obesiti semakin serius apabila aktiviti fizikal berkurangan, dengan ramai kanak-kanak dan orang dewasa menjalani gaya hidup yang lebih sedentari, menghabiskan lebih banyak masa di hadapan skrin berbanding melakukan aktiviti luar seperti bola sepak, berbasikal dan berlari.
“Selain itu, budaya makanan Malaysia yang tersedia sepanjang masa turut menyumbang kepada isu ini... Makanan boleh didapati 24 jam sehari di sini. Jika anda teringin makan pada tengah malam, ada sahaja tempat untuk mendapatkan makanan. Golongan muda yang bekerja dalam tempoh panjang pula lebih mengutamakan kemudahan berbanding pemakanan seimbang,” katanya.
Sementara itu, Dr Wong berkata tindakan awal terhadap obesiti, termasuk menggantikan makanan terproses dengan pilihan yang kaya serat, mengurangkan pengambilan gula dan kekal aktif, boleh membantu mencegah penyakit buah pinggang. Selain itu, saringan kesihatan secara berkala juga penting bagi pengesanan awal.
“Keluarga perlu memberi tumpuan kepada diet seimbang dan menggalakkan anak-anak untuk aktif sejak kecil. Bagi mereka yang sudah berhadapan dengan obesiti, perubahan kecil tetapi konsisten boleh membantu melindungi kesihatan buah pinggang.
“Mengurangkan pengambilan gula bukanlah perubahan yang boleh dilakukan dalam sekelip mata. Deria rasa memerlukan masa untuk menyesuaikan diri, tetapi lama-kelamaan, keinginan terhadap rasa manis akan berkurang,” jelasnya
-- BERNAMA
(Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. Bernama tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan maklumat dan pendapat yang disiarkan dalam artikel berkenaan.