JENAYAH & MAHKAMAH

JKDM PULAU PINANG SERBU STOR SIMPAN MINUMAN KERAS TIDAK BERCUKAI

12/03/2025 01:58 PM

BUTTERWORTH, 12 Mac (Bernama) -- Sebuah premis di kawasan terpencil di Bukit Mertajam yang dijadikan stor menyimpan minuman keras tidak bercukai, diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Pulau Pinang pada 9 Jan.

Pengarah JKDM negeri Rohaizad Ali berkata serbuan dilakukan kira-kira 4 petang dan hasil pemeriksaan pada keseluruhan stor tersebut, telah menemukan 3,665 botol dan 13,836 tin minuman keras pelbagai jenama disyaki tidak berkastam, dianggarkan bernilai RM103,667.90 serta cukai berjumlah RM267,854.65.

“Siasatan awal mendapati stor tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan minuman keras yang disyaki tak berkastam, sebelum diedarkan di pasaran tempatan.

“Minuman keras merupakan barang larangan semasa import dan pengimportannya dibenarkan tertakluk dengan lesen import di bawah Butiran 3, Bahagian II, Jadual Ketiga Perintah Larangan (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Bagan Jermal di sini, hari ini.

Sementara itu dalam satu lagi kes berasingan, Rohaizad berkata pihaknya telah merampas 555,600 batang rokok pelbagai jenama disyaki rokok seludup.

Beliau berkata rampasan dibuat hasil serbuan ke atas sebuah premis di Nibong Tebal oleh sepasukan pegawai Kastam daripada Unit Operasi, Bahagian Penguatkuasaan Pulau Pinang pada 4.30 petang, 25 Jan lepas.

“Modus operandi digunakan sindiket ialah menyimpan rokok tidak berkastam di premis terbiar dan di kawasan perkampungan, bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata kesemua rokok yang dirampas itu bernilai RM550,629 termasuk cukai, dengan kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Eksais 1976.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan