Oleh Shakir Husain
NEW DELHI, 12 Mac (Bernama) -- Utusan khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim, mengunjungi Penasihat Hal Ehwal Luar Bangladesh, Mohammad Touhid Hossain, di Dhaka pada Selasa.
Othman mendapatkan "pandangan, maklumat dan ulasan" daripada Bangladesh mengenai konflik di Myanmar dan pelarian Rohingya, menurut kenyataan Kementerian Luar Bangladesh.
Bangladesh menempatkan lebih satu juta warga Myanmar di kawasan Cox's Bazar yang melarikan diri akibat pengusiran paksa.
Perang saudara yang semakin meruncing di Myanmar memburukkan lagi situasi kemanusiaan.
Hossain menggesa tindakan segera "untuk merangka pelan komprehensif bagi penghantaran pulang pelarian Rohingya" dengan penglibatan Myanmar, anggota ASEAN, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan negara penyumbang, menurut kementerian itu.
Ia turut menyatakan bahawa Othman menyampaikan komitmen kukuh ASEAN untuk menyelesaikan krisis berkenaan.
Othman, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, dilantik pada Januari lepas sebagai utusan khas kumpulan Asia Tenggara mengenai Myanmar yang dilanda perang.
-- BERNAMA