TAPAH, 12 Mac (Bernama) -- Sebanyak RM60 juta diperuntukkan bagi pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) di Perak tahun ini, yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 600 komuniti yang berminat untuk melaksanakan pelbagai projek di bawah program tersebut.
Pengarah Pembangunan Negeri Datuk Shamshuzaman Sulaiman berkata mana-mana Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau persatuan penduduk yang berminat boleh memohon dana ini melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) Perak.
“SejaTi MADANI merupakan satu inisiatif yang mampu memberikan nilai tambah dan merancakkan penjanaan ekonomi di peringkat komuniti menerusi pelbagai sektor, termasuk pertanian, penternakan dan perikanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Program Didik Kasih MADANI (dKASIH): Kembali Ke Sekolah 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Tapah, di sini, hari ini.
SejaTi MADANI merupakan inisiatif Kerajaan Perpaduan bagi merancakkan aktiviti ekonomi komuniti serta meningkatkan pendapatan melalui pemberian dana antara RM50,000 hingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
Program ini memberi tumpuan kepada lima sektor utama iaitu pertanian dan makanan, jahitan dan kraftangan, herba dan kesihatan, pelancongan dan hospitaliti serta aktiviti hijau dan kitar semula.
Shamshuzaman berkata pihaknya turut menyediakan latihan, terutama dalam aspek pengurusan kewangan, kepada komuniti yang berjaya memperoleh dana melalui program tersebut.
“Pengurusan kewangan yang baik penting bagi memastikan projek dapat berkembang dengan mampan. Justeru, kami akan menyediakan latihan atau kursus kepada komuniti yang berjaya dalam permohonan mereka,” katanya.
Mengulas mengenai program dKASIH, beliau berkata sebanyak RM40,000 diperuntukkan untuk 200 murid sekolah rendah dari keluarga miskin dan miskin tegar di tiga sekolah dalam Parlimen Tapah.
Dana itu digunakan untuk menyediakan kelengkapan sekolah serta yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi murid di SK Tapah, SK Toh Tandewa Sakti dan SK Satu dalam parlimen berkenaan. Antara sumbangan yang diberikan termasuk kasut sekolah, stoking, seluar sukan dan yuran PIBG.
“Inisiatif ini merupakan kerjasama antara ICU JPM Perak, Bank Muamalat Malaysia Berhad dan Syarikat Canggih Sutera Sdn Bhd bagi meringankan beban keluarga dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak mereka,” katanya.
-- BERNAMA