AM

LUNAS PERKUKUH KERJASAMA STRATEGIK BERSAMA STM TURKIYE DI LIMA’25

15/06/2025 08:37 AM

KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (LUNAS) terus mengorak langkah sebagai pemain utama industri pertahanan negara dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama syarikat kejuruteraan pertahanan terkemuka Turkiye, Savunma Teknolojileri Muhendislik ve Ticaret A.S. (STM).

Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS Azhar Jumaat berkata kerjasama strategik itu bakal membuka lembaran baharu dalam pemodenan platform ketenteraan laut serta pembangunan kapal generasi masa hadapan.

Beliau berkata kerjasama itu turut memperkukuh keupayaan teknikal syarikat berkenaan dan dalam masa sama mengangkat nama negara dalam arena pertahanan maritim global.

“Jalinan ini dapat memperkukuh usaha negara untuk mempertingkat daya tahan pertahanan maritim menerusi pemindahan teknologi, pembangunan keupayaan tempatan dan inovasi bersama rakan global dipercayai.

“Perkongsian ini menjadikan LUNAS sebagai aset strategik berkaitan kerajaan lebih berdaya saing malah memperkukuh aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pemodenan, daya saing dan penglibatan global dalam pembangunan industri negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Majlis pertukaran MoU itu diadakan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA’25) baru-baru ini, disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut hadir Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Presiden Agensi Industri Pertahanan Turkiye Haluk Gorgun dan Ketua Pegawai Eksekutif STM Ozgur Guleryuz.

Sebagai simbolik kepada sokongan Kerajaan MADANI terhadap program Kapal Tempur Pesisir (LCS), Perdana Menteri turut meletakkan Jalur Gemilang pada replika model Bryks sepanjang lima meter yang dipamerkan di reruai LUNAS.

LUNAS dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan), kini giat melebarkan sayapnya ke sektor lain termasuk pembinaan dan pembaikan kapal komersial, kejuruteraan berat serta kitar semula kapal.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan