AM

KOTA MADANI BERI PENJIMATAN KOS SARA HIDUP KEPADA PENJAWAT AWAM - DR ZALIHA

26/06/2025 02:18 PM

PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19 dijangka memberi penjimatan kos sara hidup hingga RM1,000 sebulan kepada penjawat awam, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Beliau berkata melalui projek itu penjawat awam dapat menetap di kuarters yang disediakan pada kos minimum, dengan potongan elaun rumah dan elaun bantuan sara hidup (COLA) yang hanya sekitar RM400 sebulan.

“Sekolah anak pun dekat dan boleh diakses dengan berjalan kaki. Mereka pergi dan balik sekolah dengan selamat kerana kawasan ini dilengkapi sistem keselamatan yang canggih.

“Kos petrol pun boleh dijimatkan. Jadi mereka boleh menyimpan untuk masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Projek Pembangunan Kota MADANI Presint 19 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

Dr Zaliha berkata kerajaan membangunkan konsep MADANI ini dengan realiti, bukan sekadar slogan.

Menepis dakwaan bahawa projek ini bakal menggantikan Putrajaya, Dr Zaliha berkata Kota MADANI hanya meliputi 0.8 peratus daripada keseluruhan kawasan Putrajaya dan merupakan sebahagian kecil daripada perancangan bandar yang lebih besar.

“Putrajaya ini dibina sebagai simbol pentadbiran moden dan terancang. Kota MADANI adalah kesinambungan dan penyempurnaan kepada visi ini, dengan memberi penekanan kepada ekosistem kehidupan yang inklusif, berdaya huni dan selamat,” katanya.

Kota MADANI dirangka sebagai pembangunan berkonsep ‘walkable’ dengan jarak dekat antara bangunan, disepadukan dengan elemen teras MADANI dan CHASE, iaitu pembangunan bersepadu, persekitaran mesra pejalan kaki, teknologi kecerdasan buatan (AI), serta pembangunan yang mampan dan inklusif.

Dr Zaliha berkata 10,000 unit kuarters untuk penjawat awam akan dibina di bawah projek ini bagi mengurangkan kekurangan ketara yang dihadapi ketika ini.

“Keperluan sebenar kuarters di Putrajaya adalah 35,000 unit namun hanya 22,000 unit tersedia sejak lebih 20 tahun lepas dan jumlah ini tidak pernah meningkat. Kini terdapat 17,000 permohonan dalam senarai menunggu,” katanya.

Beliau menegaskan hanya di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, isu ini diberi perhatian serius dan langkah konkrit diambil demi kebajikan penjawat awam.

“Bayangkan realiti seorang pegawai kumpulan sokongan yang terpaksa menyewa rumah dengan kos RM1,200 hingga RM1,500, belum lagi termasuk kos petrol RM500 sebulan, maka Kota MADANI akan benar-benar mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik,” jelasnya.

Terdahulu, Anwar merasmikan projek pembangunan Kota MADANI iaitu satu inisiatif mega berkonsepkan bandar pintar yang mesra rakyat dan alam sekitar.

Projek bernilai RM4 bilion itu akan dibangunkan oleh Putrajaya Holdings Sdn Bhd (PjH) menerusi model kerjasama awam-swasta berkonsepkan bina-pajak-selenggara-pindah (BLMT) tanpa melibatkan peruntukan kerajaan pada peringkat awal.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan