CHUKAI, 26 Jun (Bernama) -- Seorang penjawat awam lelaki kerugian RM85,000 selepas terperdaya sindiket pelaburan tidak wujud menerusi seorang wanita yang dikenalinya di laman sosial, bulan ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Supt Mohd Razi Rosli berkata lelaki berusia 40 tahun itu tertarik menyertai pelaburan dalam bidang pelancongan selepas wanita warga Indonesia berkenaan memaklumkan bahawa pulangan yang ditawarkan adalah lumayan.
“Mangsa melabur sebanyak RM175,510 menerusi lapan transaksi ke dua akaun dari 19 hingga 24 Jun, namun hanya menerima pulangan RM90,510 menyebabkan dia berasa ditipu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Razi berkata mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman semalam selepas gagal menghubungi wanita dan ejen pelaburan terbabit.
Dalam kes berasingan, Mohd Razi berkata seorang penuntut kolej berusia 20 tahun membuat laporan polis hari ini, mendakwa kerugian RM70,000 akibat sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis.
“Suspek menghubungi mangsa pada Ahad lepas dan memaklumkan bahawa namanya terlibat dalam kes penggubahan wang haram serta perlu membuat bayaran bagi mengelakkan ditahan.
“Disebabkan panik dan ketakutan, mangsa membuat bayaran menerusi tiga transaksi menggunakan wang pinjaman pendidikan dan hasil pusaka yang diterima,” katanya.
-- BERNAMA