PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Mesyuarat pertama Jawatankuasa Khas mengenai Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang diadakan di sini, hari ini, disertai kementerian berkaitan dan pakar teknikal untuk menyelaraskan dasar, pelaksanaan dan kesediaan data terhadap pematuhan.
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata salah satu keutamaan jawatankuasa itu adalah untuk memastikan klasifikasi Malaysia sebagai Negara Berisiko Rendah di bawah rangka kerja EUDR.
“Ini melibatkan pengukuhan sistem kebolehkesanan nasional dan memastikan penyediaan data hutan yang tepat kepada Penilaian Sumber Hutan Global (FRA) oleh Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, yang berfungsi sebagai rujukan utama untuk pengkategorian risiko negara EUDR,” kata KPK dalam satu kenyataan hari ini.
Jawatankuasa itu yang dipengerusikan Menteri KPK Datuk Seri Johari Abdul Ghani, terdiri daripada tiga kementerian utama - KPK, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar (NRES), dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Sementara itu, jawatankuasa kerja akan dipengerusikan bersama oleh ketua setiausaha kementerian masing-masing.
KPK berkata jawatankuasa tersebut juga akan berfungsi sebagai saluran utama untuk sesi libat urus antara Malaysia dengan Suruhanjaya Eropah, termasuk penyerahan set data rasmi, kemas kini dasar, dan penyertaan dalam pertukaran teknikal.
“Inisiatif pendekatan seluruh kerajaan ini menunjukkan komitmen teguh Malaysia terhadap kemampanan merentas komoditi utama seperti minyak sawit, getah, kayu dan koko, yang secara kolektif merekodkan RM186 bilion nilai eksport global pada 2024,” katanya.
--BERNAMA