JENAYAH & MAHKAMAH

WARGA EMAS MAUT, LAPAN CEDERA DALAM KEMALANGAN DI JALAN KUNAK-LAHAD DATU

29/06/2025 07:07 PM

KUNAK, 29 Jun (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas berusia 74 tahun maut manakala sembilan penumpang cedera apabila van jenis Toyota Hiace dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 29, Jalan Kunak-Lahad Datu, kira-kira 7 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kunak ASP Reduan Rahman berkata kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu gantian yang gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas ke kanan jalan.

"Van itu membawa 10 individu termasuk pemandu dalam perjalanan dari Semporna menuju ke Sandakan. Kemalangan itu menyebabkan pemandu meninggal dunia manakala empat penumpang cedera ringan dan lima lagi cedera parah," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Bomba dan Penyelamat Mohd Ridzuan Shahidun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.19 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada 7.50 pagi.

"Kami mendapati sebuah van terbabas ke bahu jalan. Seorang mangsa yang tersepit di bahagian pemandu telah dikeluarkan menggunakan peralatan khas Hydraulic Power Unit (HPU) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Lapan mangsa yang cedera berusia 46 hingga 75 tahun diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke hospital menggunakan jentera EMRS serta ambulans.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan