EKONOMI

PELABUR ASING JADI PEMBELI BERSIH, ALIRAN MASUK RM33.2 JUTA MINGGU LEPAS

30/06/2025 11:21 AM

KUALA LUMPUR, 30 Jun (Bernama) -- Pelabur asing mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM33.2 juta di Bursa Malaysia, selepas lima minggu berturut-turut mencatatkan jualan, menurut MIDF Amanah Investment Bank Bhd.

Dalam Laporan Aliran Dana pada minggu berakhir 27 Jun 2025, katanya aktiviti pelabur asing bercampur-campur pada minggu tersebut, dengan belian bersih dicatatkan pada Selasa dan Khamis manakala Isnin dan Rabu menyaksikan aliran keluar bersih.

“Aliran masuk adalah daripada RM5.0 juta hingga RM144.1 juta manakala aliran keluar antara -RM50.7 juta dan -RM65.2 juta," katanya dalam nota penyelidikan.

Katanya tiga sektor yang mencatatkan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah utiliti (RM102.6 juta), pengangkutan dan logistik (RM45.9 juta) serta produk perindustrian dan perkhidmatan (RM22.9 juta). 

Sementara itu, tiga sektor utama yang mencatatkan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah perkhidmatan kewangan (-RM109.9 juta), hartanah (-RM35.9 juta) serta telekomunikasi dan media (-RM28.0 juta).

Begitu juga, institusi tempatan meneruskan aktiviti belian mereka, menjadikan aliran belian selama enam minggu berturut-turut dengan aliran masuk bersih sebanyak RM142.8 juta, lebih rendah daripada aliran masuk pada minggu sebelumnya sebanyak RM510.6 juta.

Sementara itu, pelabur runcit tempatan kembali menjadi penjual asing bersih pada minggu lepas, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak -RM176.0 juta, mengakhiri aliran masuk selama seminggu.

“Purata jumlah dagangan harian mencatatkan peningkatan pada minggu lepas, kecuali bagi pelabur asing. 

“Pelabur runcit tempatan dan institusi tempatan, masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak +12.7 peratus dan +9.7 peratus manakala pelabur asing mencatatkan penurunan sebanyak -17.0 peratus,” katanya. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan