GEORGE TOWN, 30 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sambutan Hari Malaysia 2025 pada 16 Sept ini akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA@Arena Butterworth dekat sini, dengan pelbagai pengisian menarik.
Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan sambutan berkenaan pada 8.30 malam.
Fahmi berkata sambutan tersebut juga akan dihadiri Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Acara sambutan Hari Malaysia ada kalanya diadakan di tempat terbuka seperti tahun lepas di Padang Merdeka, Kota Kinabalu (Sabah) dan ada kalanya dibuat dalam keadaan tertutup seperti di Stadium Perpaduan di Kuching, Sarawak dua tahun lepas.
“Yang membezakan kali ini, Jemaah Menteri telah memutuskan supaya Sabah, Sarawak dan Semenanjung secara bergilir menjadi tuan rumah bagi acara sambutan Hari Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan antara negeri-negeri dan membantu memupuk semangat kekitaan dan rasa cinta kepada negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2025 bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di bangunan Komtar di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Long, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, pengarah, ketua dan pegawai jabatan dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata beliau sendiri akan meninjau tapak sambutan di Pusat Konvensyen PICCA hari ini serta meneliti persiapan termasuk isi kandungan program serta aturcara.
Beliau turut meminta Jabatan Penerangan (JaPen) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Komuniti MADANI dan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk mengaturkan siri program sempena Bulan Kebangsaan termasuk acara di peringkat komuniti di Pulau Pinang.
Fahmi berkata langkah itu bagi merancakkan dan memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sekali gus memberi makna lebih mendalam kepada komuniti setempat.
Terdahulu, Fahmi yang dalam lawatan kerja dua hari di Pulau Pinang mulai hari ini telah mengadakan kunjungan hormat terhadap Chow di Pejabat Ketua Menteri di Komtar di sini dengan meluangkan masa kira-kira 30 minit.
Pada 11 Jun lepas, Fahmi mengumumkan sambutan Hari Malaysia tahun ini berlangsung di Pulau Pinang, selaras dengan amalan penggiliran lokasi antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia setiap tahun.
-- BERNAMA