Oleh Norhayati Mohd Akhir
SEPANG, 4 Julai (Bernama) -- Santan, jenama makanan dan minuman di bawah Capital A Bhd menyasarkan fasa pengembangan antarabangsanya di rantau ASEAN bermula dengan Indonesia dan Filipina, seawal tahun hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Catherine Goh berkata syarikat kini meneroka kerjasama strategik bagi menyokong rancangan pengembangan serantau.
“Kami sedang meneliti peluang di Indonesia dan Filipina.
"Jika membuka cawangan di Indonesia, kami akan membawa hidangan istimewa kami termasuk Nasi Lemak Pak Nasser dan Nasi Padang yang sememangnya sudah popular di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas melancarkan cawangan Santan@Food District di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Cawangan baharu di gateway@klia2 ini menawarkan pilihan hidangan kegemaran ASEAN dan hidangan istimewa dalam penerbangan yang disajikan di darat bermula dari RM14.
Dalam pada itu, Goh berkata Indonesia dan Filipina dipilih pada kali ini kerana kedua-dua negara itu mempunyai potensi pasaran yang kukuh selain permintaan yang semakin meningkat terhadap hidangan istimewa Santan dalam kalangan pelancong dan penduduk tempatan.
“Kami melihat peluang untuk berkembang melalui pelbagai saluran jualan dan mengalu-alukan kerjasama untuk membangunkan segmen ini bersama-sama,” katanya.
Santan menjual lebih daripada 500,000 unit hidangan sedia dimakan (RTE) tahun lepas dengan Nasi Lemak Pak Nasser menyumbang sebahagian besar daripada jumlah jualan tersebut.
Tahun ini, syarikat menyasarkan jualan antara 650,000 hingga 700,000 unit bagi mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran RTE yang semakin berkembang.
Goh berkata strategi pertumbuhan Santan merangkumi kerjasama rapat dengan rakan kongsi serantau bagi memastikan pembangunan yang terangkum.
“Kami benar-benar memberi tumpuan kepada ASEAN. Apabila kami berkembang, kami mahu rakan-rakan kongsi turut berkembang dalam ekosistem yang sama,” katanya.
Ditubuhkan pada 2015 sebagai perkhidmatan penyediaan makanan dalam penerbangan, Santan sejak itu berkembang ke dalam bidang runcit dan penyediaan makanan korporat.
Disokong oleh pasukan pembangunan produk yang mantap, syarikat berhasrat mengembangkan jenama berkenaan di Thailand, Indonesia dan Filipina sambil menawarkan perkhidmatan dalam penerbangan kepada syarikat penerbangan pihak ketiga.
-- BERNAMA