Oleh Samantha Tan
KUALA LUMPUR, 8 Julai (Bernama) -- Aspirasi sekian lama ASEAN untuk mewujudkan Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN) menerima suntikan semangat baharu apabila China dan Rusia menyatakan kesediaan untuk menandatangani Protokol Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Protokol SEANWFZ).
Pensyarah Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Zainal Abidin Sanusi berkata perkembangan positif itu mencerminkan kesungguhan ASEAN untuk merealisasikan visi ZOPFAN dengan mengimbangi aspek keselamatan, kemampanan dan pertumbuhan terangkum demi generasi masa hadapan.
Beliau berkata kesediaan China dan Rusia untuk turut serta membuktikan ZOPFAN bukan sekadar retorik, malah satu kerangka kerja yang dinamik dan kekal relevan dalam situasi masa kini.
“Langkah ini secara langsung mengukuhkan ZOPFAN, mengurangkan risiko peningkatan ketegangan nuklear di rantau yang semakin terdedah kepada persaingan kuasa besar, khususnya di Laut China Selatan,” katanya kepada Bernama sempena Mesyurat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 dan mesyuarat berkaitan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
ZOPFAN yang ditandatangani pada 27 Nov 1971 oleh negara anggota ASEAN di Kuala Lumpur bermatlamat memastikan rantau Asia Tenggara bebas daripada sebarang campur tangan kuasa luar, sekali gus memperkukuh komitmen ASEAN terhadap dasar berkecuali dan autonomi serantau semasa era Perang Dingin.
Zainal Abidin berkata langkah berkenaan juga mampu meningkatkan kredibiliti antarabangsa Protokol SEANWFZ dan memperhebat tekanan diplomatik terhadap Negara Senjata Nuklear (NWS) terutamanya Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), dan Perancis agar mempertimbangkan semula keraguan negara terbabit dan kembali terlibat dalam perjanjian itu.
“Dasar luar Malaysia yang bersifat berkecuali dan berprinsip menjadikan negara ini mempunyai kredibiliti untuk menjadi penghubung yang dipercayai dalam rundingan yang rumit seumpama ini,” katanya sambil menambah perkembangan itu turut mencerminkan perubahan yang lebih menyeluruh dalam pendekatan diplomatik ASEAN.
Beliau berkata ia juga menandakan detik penting dalam apa yang disebut oleh sesetengah pihak sebagai “diplomasi kemampanan”, iaitu pendekatan baharu terhadap keamanan dan keselamatan yang menumpukan kepada kerjasama jangka panjang dalam perlindungan alam sekitar, pertumbuhan hijau dan pembangunan terangkum, melangkaui strategi ketenteraan atau geopolitik.
Zainal Abidin berkata meskipun Asia Tenggara bebas daripada senjata nuklear, ASEAN masih berisiko terdedah kepada kemungkinan penempatan senjata nuklear oleh kuasa luar.
"Pemimpin ASEAN percaya bahawa memastikan semua NWS mematuhi perjanjian ini, pada masa ini adalah lebih mustahak daripada sebelum ini untuk menjaga semangat ZOPFAN serta mengekalkan kestabilan dan kemakmuran Asia Tenggara,” katanya.
Beliau berkata komitmen ASEAN terhadap Asia Tenggara yang bebas senjata nuklear bukan sahaja memperkukuh keselamatan serantau tetapi juga menyokong kemampanan pertumbuhan ekonomi, sekali gus menunjukkan pelucutan senjata mampu menjadi sebahagian daripada strategi diplomasi kemampanan lebih luas.
Bagi mencapainya, Zainal Abidin berkata ASEAN boleh mencadangkan mekanisme pematuhan dan pemantauan serantau secara kerjasama dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) berasaskan model Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Afrika bagi memperkukuh ketelusan dan membina keyakinan.
Beliau berkata perlindungan alam sekitar juga menjadi asas penting SEANWFZ, dengan perjanjian itu melarang pembuangan sisa radioaktif dan mengehadkan aktiviti tenaga nuklear, sekali gus mengukuhkan keadilan antara generasi serta kesihatan ekosistem rantau ini.
Zainal Abidin berkata Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang mengangkat tema “Keterangkuman dan Kemampanan” sangat relevan dengan isu global pada masa ini termasuk perubahan iklim, pembangunan saksama dan keamanan, sekali gus menghubungkan SEANWFZ dengan isu lain seperti perlindungan alam sekitar dan keadilan sosial.
Beliau berkata Malaysia telah gigih berusaha di belakang tabir melalui jawatankuasa ASEAN dan saluran diplomatik bagi memastikan kelancaran logistik dan perbincangan yang berfokus khususnya dalam isu sukar seperti pemantauan dan penguatkuasaaan perjanjian.
Zainal Abidin berkata Malaysia juga boleh memanfaatkan kepimpinannya dalam teknologi hijau, tenaga bersih dan pertumbuhan ekonomi saksama untuk menunjukkan bagaimana diplomasi berteraskan kemampanan mampu membentuk pembinaan keamanan serantau secara lebih menyeluruh.
“Berbeza dengan mesyuarat ASEAN sebelum ini yang mengasingkan keselamatan dan pembangunan, kini Malaysia membantu ASEAN untuk berfikir secara merentas sektor dengan menggabungkan aspek keamanan dan kelestarian secara inovatif,” katanya.
Zainal Abidin berkata kepimpinan Malaysia juga mampu menjadikan AMM sebagai satu peristiwa penting yang bukan sahaja untuk mencapai keamanan dan pelucutan senjata nuklea, tetapi juga kebangkitan diplomasi kemampanan sebagai pendekatan ke arah masa masa depan ASEAN dalam mengimbangi geopolitik, alam sekitar serta pembangunan.
AMM ke-58 dan mesyuarat berkaitan bermula Selasa hingga Jumaat, dijangka menghimpunkan kira-kira 1,500 perwakilan terdiri daripada menteri luar ASEAN, Timor-Leste, rakan dialog ASEAN, negara yang menyertai Forum Serantau ASEAN (ARF), rakan dialog sektoral dan pegawai kanan Sekretariat ASEAN.
Malaysia menjadi tuan rumah AMM sebagai sebahagian daripada Kepengerusian ASEAN buat kali kelima, selepas pernah memegang peranan berkenaan pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA