PUTRAJAYA, 15 Julai (Bernama) -- Kabinet masih belum menerima memorandum daripada Wisma Putra berhubung pelantikan pengulas dan penulis konservatif Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) yang baharu ke Malaysia, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata secara kebiasaannya, Jemaah Menteri akan menerima memorandum daripada Wisma Putra mengenai mana-mana pelantikan duta atau perwakilan asing yang baharu di Malaysia.
“Waktu ini perkara tersebut belum lagi dibawa ke perhatian Jemaah Menteri, mungkin selepas kita ada maklum balas yang terkini (baru akan dibawa), tetapi waktu ini (masih) belum lagi sampai ke Jemaah Menteri,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan watikah pelantikan anggota Lembaga Pengasas Majlis Media Malaysia di sini hari ini.
Ditanya adakah Malaysia boleh menolak pelantikan Adams, beliau berkata: ‘Dalam bidang diplomasi ada apa yang dipanggil ‘Agrément’, di mana the negara tuan rumah mesti bersetuju, itu dalam bidang diplomasi.
“Samalah juga sebelum ini, kalau kita teliti sejarah dalam kerajaan menamakan ataupun mencadangkan perwakilan Malaysia ke negara asing perlu mendapat persetujuan daripada negara tuan rumah," katanya.
Media antarabangsa sebelum ini melaporkan Presiden AS Donald Trump mencalonkan Nick Adams, seorang pengulas politik konservatif kelahiran Australia yang kini warganegara AS sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
Semalam, bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata Malaysia mempunyai kuasa penuh untuk menolak pelantikan Adams sebagai Duta Besar AS ke negara ini.
Khairy berkata tindakan itu selaras dengan Artikel 4 Konvensyen Vienna yang memperuntukkan hak kepada negara penerima untuk tidak menerima calon duta tanpa perlu memberikan sebarang alasan rasmi.
Artikel 4 Konvensyen Vienna menyebut bahawa sesebuah negara tidak boleh menghantar wakil diplomatik tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan negara tuan rumah.
-- BERNAMA