KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Pendekatan rundingan kerajaan sentiasa memastikan bahawa sebarang persetujuan yang dicapai menyokong pembaharuan ekonomi negara dan strategi pertumbuhan mampan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata hasil jangka panjang yang negatif bukanlah apa yang orang ramai mahukan, ataupun apa yang diperlukan oleh pembayar cukai pada masa ini dan masa depan.
"Tajuk berita yang menarik dan menggembirakan hanya bertahan selama beberapa hari, paling lama seminggu. Bagaimanapun, perjanjian yang tidak dicapai dengan baik akan membawa kesan jangka panjang kepada pekerja, industri dan ekonomi kita.
“Objektif kita mudah: kita mahu memastikan bahawa sebarang perjanjian menyokong perdagangan pelbagai hala yang terbuka, berasaskan peraturan dan adil, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai tunjangnya,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ucap tamanya pada Minggu Penjagaan Kesihatan Antarabangsa (IHW) 2025, di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata, perjanjian yang dicapai itu juga perlu melindungi akses pasaran, sambil menyokong keperluan negara sedang pesat membangun seperti Malaysia untuk membangunkan rantaian bekalan dan ekonomi yang mampan.
“Sama seperti negara lain, kita menghargai hubungan ekonomi kita dengan AS. Pada 2024, jumlah perdagangan Malaysia-AS meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion (US$71.4 bilion), dengan Malaysia menjadi sumber penting untuk produk utama seperti elektrik dan elektronik (E&E); semikonduktor; mesin dan peralatan; sarung tangan getah, produk berasaskan kayu dan minyak sawit," katanya.
Memandangkan rundingan perdagangan merupakan proses pelbagai pihak berkepentingan yang kompleks, beliau berkata kementerian dan agensi berkaitan mesti dirujuk untuk meminimumkan konflik, dan memastikan pelaksanaan yang lancar selepas rundingan.
"Tempoh purata bagi rundingan perdagangan biasa adalah selama 18 bulan. Bagi MITI, rekod terpantas setakat ini ialah 11 bulan," katanya.
Menurutnya, terdapat juga beberapa perkara sensitif yang tidak akan dikompromi oleh Kerajaan MADANI dalam rundingan perdagangan, termasuk mengorbankan kedaulatan negara, atau mengenepikan rakan dagang lain dalam usaha memuktamadkan perjanjian perdagangan.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia masih mempunyai masa sehingga 1 Ogos ini untuk berunding dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai tarif timbal balas sebanyak 25 peratus yang dikenakan oleh negara itu.
Beliau berkata demikian ketika mengulas berhubung pengumuman terkini oleh Presiden AS Donald Trump mengenai tarif timbal balas sebanyak 19 peratus yang dikenakan ke atas Indonesia.
Bagaimanapun, katanya, Indonesia masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.
"Saya tiada maklumat lanjut berhubung perkara itu (kadar tarif timbal balik ke atas Indonesia), apa yang kita tahu adalah daripada pengumuman yang di buat oleh Trump. Sekarang kita akan menunggu apa yang akan diumumkan oleh pihak Indonesia.
"Untuk kita (rundingan dengan Malaysia), kita masih lagi di dalam rundingan, kita ada sehingga 1 Ogos dan kita masih lagi ada masa. Yang penting, dalam apa-apa rundingan, kita mesti pastikan ia akan membawa kebaikan kepada kedua-dua negara," katanya.
-- BERNAMA