AM

NELAYAN MINTA PESISIR PANTAI TELUK NIPAH DITAMBAK UNTUK PULIHKAN KUALITI AIR

16/07/2025 07:08 PM

SUNGAI PETANI, 16 Julai (Bernama) -- Nelayan di Kampung Teluk Nipah, Kota Kuala Muda dekat sini berharap kawasan pesisir pantai di situ dapat ditambak dengan batu bagi memulihkan semula kualiti air laut yang ketika ini bertukar warna kemerahan sehingga menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Abdul Halim Hasan, 66, berkata air di kawasan berkenaan pada asalnya jernih dan sering menjadi tumpuan pengunjung untuk melakukan aktiviti pantai termasuk mencari siput, namun ia kini bertukar warna setiap kali ombak besar membadai.

 Nelayan itu berkata ini berikutan kawasan berkenaan telah ditambak dengan tanah bukit yang dikorek sewaktu penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan kerja-kerja berkenaan dihentikan sejak lebih empat tahun lepas atas arahan pihak berkuasa.

"Apabila tanah bukit yang mengandungi banyak batuan merah atau dipanggil batu kawi oleh penduduk ditambak di kawasan itu, air laut berubah menjadi kemerahan terutama apabila berlaku ombak besar.

"Sebab itu, perlunya kawasan sepanjang kira-kira 200 meter itu ditambak dengan batu yang sesuai, supaya ombak tidak menghempas ke kawasan tambakan tanah merah dan mengubah warna air laut," katanya ketika ditemui Bernama di kampung berkenaan hari ini.

Abdul Halim berkata kawasan ini dahulunya kaya dengan pelbagai hidupan laut namun akibat kesan tambakan tanah itu, tangkapan para nelayan kini semakin merosot termasuk tidak ada lagi siput yang sebelum ini cukup mudah didapati di pantai berkenaan.

Sementara itu, Zamri Shuib, 55, berkata hasil laut antaranya ikan gelama dan beberapa jenis udang menjadi sumber pendapatan utama kebanyakan keluarga di sini sejak sekian lama, namun jumlahnya sudah tidak sebanyak dahulu hinggakan mereka kini tidak ubah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

"Hasil tangkapan hari ini hanya RM100 lebih, belum tolak kos minyak, pukat dan upah pekerja. 'Udang korea' tiada langsung, spesies lain nak dapat setengah kilo pun susah, kadangkala kena pergi sejauh 10 kilometer baru dapat hasil, itu pun selalunya terpaksa bersaing dengan pukat naga dan rawa sorong.

"Kos untuk bina tembok daripada simen mungkin tinggi tapi saya harap sekurang-kurangnya dapat dipasang sangkar batu supaya air kembali seperti sedia kala," katanya.

Md Nazri Yahya, 57, berkata dengan cuaca tidak menentu selain musim hujan di sini di antara Jun hingga Sept menyebabkan pendapatan nelayan terus merosot.

"Sebelum ini, di pesisir pantai pun nelayan boleh mencari hasil laut namun kini tiada hasil yang boleh dijadikan sumber rezeki untuk menyara keluarga. Terdapat kira-kira 50 hingga 60 nelayan kecil yang bergantung kepada hasil laut di sini.

"Memang akan ambil masa juga untuk keadaan kembali pulih, sebab itu kerja menambak batu perlu dibuat segera demi menjaga ekosistem hidupan laut yang menjadi kelangsungan hidup para nelayan," katanya.

Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dalam kenyataan menggesa pihak berkaitan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah hakisan yang dikatakan berlaku di Kampung Teluk Nipah termasuk membina benteng.

CAP memaklumkan walaupun kejadian yang berpunca dari penerokaan bukit dan aktiviti penambakan tanah di kampung itu telah berlarutan sejak empat tahun lepas, namun sehingga sekarang tidak ada tindakan yang diambil oleh mana-mana pihak bagi mengatasinya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan