AM

YIM PERLUAS SKOP KAJIAN INOVASI UNTUK PERKUKUH PENDAPATAN KOMUNITI

16/07/2025 08:34 PM

MELAKA, 16 Julai (Bernama) -- Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) komited untuk memperluas skop kajian dan padanan teknologi inovasi sosial, agar mampu memberi impak secara langsung kepada peningkatan pendapatan komuniti tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Sharmila Mohamed Salleh berkata pendekatan menyeluruh termasuk pemadanan teknologi dan inovasi, latihan dan pembekalan peralatan yang bersesuaian, dilihat sebagai jalan penyelesaian terbaik terhadap cabaran yang dihadapi penduduk terutamanya golongan pengusaha kecil.

“Seperti yang kita tahu, golongan ini rata-ratanya bergelut dengan isu seperti kebergantungan kepada cuaca, kekurangan fasiliti serta kaedah pengeluaran tradisional yang membataskan produktiviti.

“Jadi antara objektif utama program MyIS Komuniti ini ialah menjejak inovasi yang boleh dipadankan dengan teknologi bersesuaian. Ia bukan hanya tertumpu kepada produk, malah turut mengambil kira inovasi sosial yang menyentuh aspek penyelidikan, replikasi serta impak terhadap ekonomi dan komuniti,” katanya kepada pemberita selepas Program Jejak Inovasi Sosial (Zon Selatan), di bawah Program Utama YIM Inovasi Sosial Malaysia (MyIS Komuniti), MaGRIs/MyIS Akar Umbi  dan Youth Innovative Challenge (YIC) di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, di sini hari ini.

Program dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Tuminah Kardi.

Terdahulu, Sharmila melawat empat projek inovasi terpilih yang melibatkan masyarakat setempat, iaitu pembuatan makanan tradisional inang-inang di Kampung Paya Luboh, pembuatan bot gentian kaca di Kampung Gelam, projek produk ikan kering di Kampung Balik Bukit, serta tapak lokasi cadangan ternakan ketam nipah dan kupang di jeti nelayan Sungai Lereh.

Beliau berkata hasil lawatan ke atas empat projek tersebut, mendapati antara hasil inovasi yang boleh diketengahkan seperti teknik pengeringan ikan secara tradisional dengan mengurangkan kebergantungan kepada cahaya matahari dan penghasilan makanan tradisional seperti inang-inang yang boleh diolah menjadi produk mesra kanak-kanak.

Dalam masa yang sama, YIM turut menggesa agar pemohon yang berminat dalam bidang inovasi tidak melepaskan peluang merebut dana yang masih tersedia di bawah program MyIS, bagi tahun ini.

Sharmila berkata bagi tahun ini, lebih RM6.725 juta diperuntukkan dengan melibatkan tiga komponen utama iaitu RM3 juta bagi MyIS Komuniti, RM2 juta bagi program MaGRIs dan RM1.725 juta bagi program Ruang Daya Cipta (RDC).

“Sejak program ini diperkenalkan pada 2015, lebih 200,000 inovator telah mendapat manfaat dengan jumlah geran yang melebihi RM50 juta, dengan dana diberikan bukan dalam bentuk wang tunai tetapi disediakan dalam bentuk peralatan, latihan, khidmat nasihat serta laporan impak yang lengkap.

“Setakat ini, permohonan masih dibuka dan kita hanya akan memilih 20 permohonan terbaik,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata YIM turut memohon peruntukan tambahan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), bagi memperluas lagi capaian kepada komuniti akar umbi.

“Banyak inovasi ini bergantung kepada cuaca, jadi kita perlu tampilkan alternatif teknologi yang stabil agar rezeki mereka tidak terputus hanya kerana hujan atau ribut,” 

“Untuk menjayakannya, kita perlukan kerjasama dari semua pihak, kerana inovasi sosial tidak hanya bergantung kepada sektor sains semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama rentas agensi bagi menjayakan rantaian nilai yang lengkap iaitu dari penyelidikan hingga ke pemasaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan