AM

PARLIMEN BELIA PLATFORM LONJAK KEPIMPINAN MUDA NEGARA - JOHARI

17/07/2025 03:01 PM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Pembaharuan dasar dan sistem dalam Parlimen Belia Malaysia (PBMy) yang dilaksanakan bermula tahun depan bakal mencetus gelombang baharu kepimpinan muda untuk lebih bersedia, berwibawa dan inklusif dalam menerajui masa depan negara, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Beliau berkata PBMy bukan sekadar medan latihan sebaliknya platform strategik untuk menyemai nilai kepimpinan dalam kalangan belia yang akan menjadi pelapis untuk mengemudi tampuk pemerintahan negara.

“Kalau hari ini kita beri ruang kepada mereka pada usia 18 tahun, 10 tahun dari sekarang mereka memasuki Dewan (Dewan Rakyat) dengan penuh pengalaman dan pengetahuan. Pada usia 28 tahun, mereka bukan lagi pemerhati tetapi pemimpin yang matang,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif.

Johari berkata antara pembaharuan besar yang akan diperkenalkan dalam PBMy adalah pelaksanaan sistem pilihan raya berasaskan kaedah Perwakilan Berkadar dan Senarai Parti Tertutup, yang menyaksikan pengundi belia berumur 18 hingga 30 tahun memilih ahli PBMy berdasarkan manifesto dan bukan calon individu.

Beliau berkata semua proses pilihan raya PBMy itu diuruskan sepenuhnya oleh Parlimen Malaysia yang akan menawarkan tujuh parti kepada universiti seluruh negara untuk diwakili, dengan setiap parti bertanding merebut 222 kerusi selaras dengan jumlah Ahli Dewan Rakyat.

“Parti ini akan bertanding sesama sendiri berdasarkan manifesto. Pengundi belia tidak lagi memilih individu, sebaliknya membuat pilihan berdasarkan kreativiti dan tawaran dasar setiap parti. Mereka akan bersaing untuk tampil lebih inklusif dan progresif,” katanya.

Johari berkata pilihan raya PBMy akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian bermula tahun depan bagi membolehkan pengundi membuat pilihan mengikut negeri asal masing-masing tanpa kekangan lokasi fizikal, dengan kumpulan pertama dijangka bersidang pada Jun 2026.

Beliau berkata persidangan PBMy akan berlangsung tiga kali setahun, dengan setiap sesi ahli bakal membahaskan isu besar seperti pendidikan, kesihatan serta pembangunan belia, dan resolusi yang dipersetujui disalurkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen sebelum dipilih untuk dibahaskan sebagai agenda rasmi negara di Dewan Rakyat.

Johari berkata inisiatif itu dilihat sebagai pelaburan jangka panjang demi memastikan kesinambungan kepimpinan negara yang berkualiti dan bertanggungjawab.

“Kita tak mahu jadi lilin yang menyala lalu padam. Kita mahu jadi sistem solar, sentiasa menyala, menerangi dan menghidupkan generasi akan datang.

“Saya percaya PBMy adalah satu game-changer dalam membentuk generasi pemimpin masa depan yang lebih berwibawa, berprinsip dan berdaya tahan,” katanya.

Beliau berkata buku panduan pelaksanaan PBMy sedang giat disiapkan menerusi beberapa siri bengkel yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk pakar akademik, wakil belia dan penggubal dasar, sebagai langkah memantapkan struktur dan hala tuju program tersebut.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan